fbpx

Rider Grabfood hanyut satu kilometer dalam tali air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal yang dinaiki mangsa selepas terbabas ke tali air.

ALOR GAJAH – Seorang rider Grabfood terpaksa berendam 30 minit bersama-sama puluhan ekor lintah selepas dia terbabas dan hanyut sejauh satu kilometer dibawa arus deras tali air di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.55 malam itu, mangsa, Muaz Razali, 25, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan membuat penghantaran di kampung tersebut dengan menggunakan panduan sistem pengesanan lokasi (GPS).

“Kawasan itu sangat gelap, laluannya berhampiran dengan empangan air Durian Tunggal dekat Jalan Keretapi Lama.

“Mula-mula saya ingatkan kawasan itu dilanda banjir yang cetek, namun tiba-tiba air semakin dalam sebelum saya terbabas lalu dibawa arus masuk ke kawasan tali air,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menceritakan semula detik cemas itu, Muaz memberitahu, sebaik sahaja terjatuh dia cuba untuk bangun serta mengeluarkan motosikalnya, namun tidak berjaya kerana arus deras dan terpaksa menghubungi talian kecemasan.

“Setelah diselamatkan pasukan bomba naik semula ke darat, saya dapati badan telah penuh dengan lintah sehingga mereka terpaksa menolong saya membuangnya.

“Saya mula menjadi rider sejak awal tahun ini dan ini adalah pengalaman pertama saya terjatuh ke dalam tali air, yang tidak akan saya lupakan,” katanya menambah ketika kejadian itu dia turut berasa cemas dengan ancaman haiwan berbisa seperti ular.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penguasa Bomba Kanan II Muhd. Asraf Abdullah berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.58 malam dan sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian, pasukan kami terpaksa meranduk kawasan yang dipenuhi air untuk pergi ke lokasi mangsa sejauh satu kilometer.

“Operasi penyelamatan selesai pada pukul 10.28 malam dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI