fbpx

Larangan jualan arak boleh diperluaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Marzuk Shaary (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada Rasyidah Ismail pada Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus di Kampung Parang Putting, Pengkalan Chepa hari ini.

KOTA BHARU – Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan memperluaskan larangan jualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat tradisional di tempat lain.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, cadangan itu kemungkinan boleh dilaksanakan selepas melihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil pendekatan tersebut terlebih dahulu.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan akan memperluaskan larangan itu di tempat lain berdasarkan komen dan pandangan positif masyarakat.

“Sebelum ini, kita ada menerima aduan melibatkan penjualan arak di kedai runcit atau 24 jam kerana ia berkaitan dengan hukum agama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus Di Bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Sumbangan Program Foodbank Yapeim di Kampung Parang Putting, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Pada majlis itu, seorang ibu tunggal, Rasyidah Ismail, 48, menerima replika kunci rumah, selain yayasan itu menyampaikan sebanyak 50 bekalan makanan kepada individu yang terpilih.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Marzuk, beliau menyokong keputusan DBKL untuk melarang semua kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat tradisional menjual arak sejak Oktober lalu kerana merupakan inisiatif terbaik selain menepati tuntutan agama.

Katanya, langkah itu wajar demi keselamatan umum termasuk bagi mengelak kejadian kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

“Saya amat setuju dengan langkah itu kerana ia mendatangkan kebaikan dan minuman keras juga boleh mendorong kepada kemalangan sehingga berlaku kematian seperti yang pernah terjadi sebelum ini.

“Tindakan itu juga sebagai sebahagian strategi yang holistik selain memberi kebaikan kepada masyarakat termasuk kaum, agama dan bangsa tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa larangan semua kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat tradisional Cina menjual arak adalah muktamad.

DBKL  juga baru-baru ini memuktamadkan Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras.

Garis panduan terbaharu itu menetapkan kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur tidak dibenarkan menjual minuman alkohol bermula 1 Oktober tahun hadapan.

Bagaimanapun penjualan alkohol bagi tujuan ubatan tradisional masih dibenarkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI