fbpx

Dua anggota IPD Kerian nikah pakai seragam polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan ini bernikah dengan memakai baju seragam masing-masing.

BAGAN SERAI – Terukir dalam catatan sejarah buat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian apabila dua anggotanya melangsungkan pernikahan dengan masing-masing memakai seragam lengkap polis semalam.

Majlis pernikahan Konstabel Muhamad Adieadha Hamzah, 27, bersama pasangannya Konstabel Nor Edayu Mohamad Lakhin, 29, berlangsung pada pukul 3.50 petang semalam di Pejabat Agama Islam Bagan Serai.

Beberapa keping gambar ketika majlis akad pernikahan mereka berdua tular sejak semalam di media sosial.

Menurut Nor Edayu, pada awalnya mereka bercadang untuk melangsungkan majlis resepsi di Dewan IPD Bagan Serai, namun hasrat tersebut tidak tercapai memandangkan keadaan situasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Perak.

“Kami telah merancang sejak lima bulan yang lalu mengenai majlis ini, namun tidak menyangka situasi begini terjadi.

“Bagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana dapat meneruskan pernikahan pada hari ini walaupun masih bertugas berikutan cuti dibekukan ekoran penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan PKPB,” katanya ketika ditemui.

Tambah Nor Edayu, segala tempahan makanan, pelamin dan sebagainya terpaksa dibatalkan, namun majlis pernikahan tetap dijalankan seperti perancangan awal.

Katanya, biarpun majlis ini ringkas dan masing-masing dalam tugasan, mereka berdua tetap gembira dan teruja, apatah lagi bernikah dengan memakai pakaian rasmi polis.

“Sekiranya wabak ini berkurangan dan pelaksanaan PKPB ditamatkan, kami bercadang untuk membuat majlis resepsi perkahwinan pada tahun hadapan,” katanya.

Nor Edayu bertugas di bahagian pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam manakala suaminya bertugas di bahagian Siasatan Jenayah di IPD Kerian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI