fbpx

ESSCOM rampas 22,900 bungkus rokok seludup bernilai RM288,032

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ESSCOM menemui 22,900 bungkus rokok seludup yang ditinggalkan di tepi pantai kampung hidayat, Batu 4, Jalan Apas malam tadi. -Foto: Ihsan ESSCOM

TAWAU – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menerusi Op Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan merampas 22,900 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM288,032 dalam rampasan di tepi pantai kampung hidayat, Batu 4, Jalan Apas malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, kesemua rokok berkenaan ditemui di tepi pantai terbabit dipercayai ditinggalkan suspek selepas menyedari kegiatan haram itu disedari pihak berkuasa.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pasukan keselamatan berjaya mengesan pergerakan sebuah bot yang mencurigakan menerusi radar dari arah Pulau Sebatik menuju ke tebing laut Kampung Hidayat, Batu 4.

“Sepasukan 22 anggota terdiri daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), 9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Unit Risik Pasukan Polis Marin yang diketuai oleh ESSCOM telah diaturgerak menuju ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.

“Setibanya di tempat kejadian, anggota kita telah mengesan sebuah bot laju memecut meninggalkan tebing laut berkenaan untuk melarikan diri menuju ke arah laut yang gelap.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan itu menemui beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hijau dipercayai berisi rokok seludup tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fuad berkata, antara rokok seludup tidak bercukai yang dirampas termasuklah 9,600 bungkus rokok jenama Primero, 10,200 bungkus rokok jenama Djarum Black dan 3,100 bungkus rokok jenama Surya Menthol Slim.

Menurut beliau semua rokok berkenaan dipercayai diseludup bagi pasaran tempatan.

Semua barang rampasan sudah dibawa ke balai polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah ESSZone dengan mengadakan rondaan serta pemantauan secara agresif termasuklah mengadaptasikan konsep “Show of Force” bagi mengawal kemasukan barang-barang seludup dan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya daripada negara jiran.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat di kawasan ESSZone khususnya komuniti pesisir pantai agar sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan kepada pasukan keselamatan termasuk menjadi “mata dan telinga” dengan menyalurkan maklumat penting terutamanya mengenai kemasukan rokok seludup mahupun PATI melalui laluan tidak diwartakan kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI