SHAH ALAM – Sebuah premis dipercayai stor bahan buangan sisa industri disyaki menjadi punca pembuangan efluen secara tidak sah ke lurang kumbahan yang mencemarkan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) IWK Taman Volex, Rawang dekat sini semalam.
Penemuan tersebut hasil pemeriksaan bersepadu kira-kira pukul 10.45 malam oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
LUAS dalam kenyataan di laman rasmi Facebooknya memaklumkan sisa dari premis tersebut didapati menghasilkan bau yang sama dikesan di LRK dan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 ( SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang
Katanya, premis tersebut kemudiannya telah disita pihak MPS.
“LUAS akan mengeluarkan Surat Arahan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 kepada premis yang disyaki berkenaan risiko dan ancaman kepada kualiti sumber air dan diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan segera di tapak.
“Selain itu, Surat Arahan kepada IWK turut dikeluarkan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan penutupan aliran dan pembersihan serta-merta di LRK,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan lebih enam juta penduduk di lebih enam juta penduduk Selangor dan Kuala Lumpur sekali lagi berdepan masalah gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat loji itu dihenti tugas.
Kesemua loji berkenaan terpaksa dihenti tugas bermula pukul 12.20 hingga 12.45 tengah hari semalam susulan pencema-
ran bau yang dikesan di Sungai Selangor.
Gangguan bekalan air kali ketiga dalam tempoh tiga bulan itu telah memberi kesan kepada lebih 1.1 juta akaun berdaftar dengan Air Selangor. – K! ONLINE














