fbpx

Polis, Jaheaik siasat pengajuran pameran artifak Rasulullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) telah membuka fail untuk siasatan terhadap penganjuran pameran artifak Rasulullah SAW dan Sahabat yang dianjurkan di Madrasah Ribat al-Mustafa, Pulai Chondong dekat Machang baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, penganjuran pameran itu juga dijalankan tanpa permit dan kebenaran pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, polis telah menerima dua aduan rasmi mengenai keaslian bahan pameran dan meminta penganjurnya disiasat bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai yang mengunjungi pemeran berkenaan.

Menurutnya, pameran yang dianjurkan selama lebih dua minggu berakhir Sabtu lalu telah mendapat reaksi daripada ramai individu dalam dan luar Kelantan sehingga mereka tampil membuat aduan.

“Pameran itu bukan anjuran pengurusan madrasah berkenaan, sebaliknya dianjurkan oleh pihak lain dari luar Kelantan. Madrasah berkenaan hanya dipilih sebagai lokasi untuk mempamerkan beberapa artifak Rasulullah SAW dan para Sahabat.

“Pameran itu menarik perhatian umum untuk menyaksikan rambut, janggut, darah, peluh dan tongkat yang kesahihannya belum disahkan oleh pihak yang berwajib,” katanya pada sidang akhbar di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) Tok Bali di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! semalam melaporkan Pengarah Jaheaik, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, pihaknya khuatir aktiviti yang dianjur itu boleh mengelirukan masyarakat mengenai sejarah Nabi Muhammad.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati barangan yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW yang dipamerkan adalah tidak benar.

Selain itu, pameran itu boleh mengelirukan masyarakat terutama umat Islam sehingga boleh terpesong akidah kerana terlalu taksub dengan barangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, anggota polis sudah ke madrasah itu semalam untuk mengesahkan bahan pameran itu tulen atau sebaliknya.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat dan hanya keterangan dirakamkan. Hasil siasatan itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan kami menjalankan soal siasat penganjur yang bertanggungjawab,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 465/ 471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI