SHAH ALAM – Indah Water Konsortium (IWK) didapati tidak melaporkan lebih awal pencemaran di loji mereka yang dipercayai berlaku sejak enam hari lalu bermula 4 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, IWK juga didapati tidak menutup loji sebaliknya masih menerima kumbahan tersebut.
“Pihak IWK dikatakan sudah menerima sisa buangan bahan kimia berwarna merah seakan bau nangka itu sejak 4 November lalu namun tidak menutupi loji tersebut.
“Sisa buangan itu memenuhi sepenuhnya loji IWK dan mereka hanya melaporkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv pada sesi pertanyaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Rajiv ingin mengetahui perkembangan terkini dalang yang membuat salah laku pencemaran apabila IWK menafikan mereka terlibat dalam pencemaran itu.
Loy Sian yang merupakan ADUN Kajang itu berkata, pihak IWK sudah membuat laporan polis pada masa itu.
“Pihak SPAN juga dilaporkan bersetuju agar segala kumbahan yang masuk ke dalam loji IWK diangkat terus oleh lori IWK ke tempat lain.
“Bahkan pencemaran ini bukan kali pertama berlaku di loji IWK, sebaliknya kejadian kali keempat. Dua kali di Bukit Mahkota (Semenyih), manakala dua lagi masing-masing di Batang Kali dan di Rawang,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu pencemaran di loji berkenaan kerana IWK dan SPAN di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe ketika ditemui di lokasi premis tersebut memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan perkara tersebut.
“Kami hanya menerima laporan pukul 2.30 petang semalam (berhubung pencemaran ).
“Sebaik terima laporan, tanggungjawab polis adalah menyiasat, isu yang berlaku sebaliknya kami tidak dapat kenalpasti,” jelasnya. – K! ONLINE














