fbpx

Haiqal akur penangguhan Sukma Johor 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAIQAL (kiri)akur dengan penangguhan Sukma Johor 2020 dan kemungkinan besar tidak dapat lagi beraksi pada temasya seterusnya kerana sudah melepasi had umur 21 tahun.

HASRAT bintang pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi memegang status sebagai raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) dalam karier olahra­ganya tidak kesampaian selepas edisi penganjuran seterusnya di Johor tahun depan sah ditangguhkan ke 2022.

Koleksi pingat Haiqal, 21, di­lihat masih belum lengkap tanpa kejayaan memenangi Sukma meskipun berjaya bergelar raja pecut Asia Tenggara selepas menjuarai final 100 meter (m) pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina hujung tahun lepas.

Bagaimanapun, atlet Ne­geri Sembilan itu terpaksa akur dengan keputusan penangguhan itu sekali gus menjejaskan peluangnya untuk menebus kekecewaan tewas kepada Muhammad Aqil Yasmin untuk meraih pingat perak acara 100m pada Sukma Perak 2018.

“Saya perlu terima dengan hati terbuka terhadap keputusan yang sudah diputuskan oleh kerajaan kerana wabak Covid-19 masih belum menunjukkan jumlah penurunan.

“Rugi juga kalau Sukma tidak ada kerana ini adalah Sukma terakhir saya. Apa yang saya boleh lakukan sekarang ialah meneruskan latihan seperti biasa dan bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Sebagai rekod, Sukma ke-20 sepatutnya berlangsung pada Julai lalu tetapi ditangguhkan pada Mac tahun depan sebelum dijadualkan semula pada April 2021 disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Penangguhan terbaharu menyaksikan Haiqal kemungkinan besar tidak dapat sertai kerana sudah melepasi had umur 21 tahun yang ditetapkan memandangkan dia bakal berusia 23 tahun pada 2022.

Bagaimanapun, peluang masih belum tertutup rapat buat Haiqal kerana sekretariat Sukma tidak mengumumkan lagi kriteria-kriteria seperti ketetapan baharu had umur atlet yang dibenarkan bertanding pada Sukma 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI