fbpx

Dua tahun hadam skrip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MA YILI

NASKHAH yang mengangkat kisah-kisah penyiasatan dilihat semakin perhatian khalayak masa kini, lebih-lebih lagi satu demi satu karya sebegitu mendominasi carta drama mahupun filem popular.

Begitu juga HBO Asia Siri Original yang kini muncul dengan sebuah drama rantaian baharu mengetengahkan elemen serupa bertajuk Miss S.

Diadaptasi daripada siri popular sekitar tahun 2012 berjudul Miss Fisher’s Murder Mysteries, naskhah Miss S bagai menghidupkan semula era 1930-an dengan membina 500 set penggambaran.

Tidak terlalu memberi tumpuan terhadap perincian imej janaan computer (CGI), drama 30 episod itu pasti memberi kepuasan kepada penonton, sekali gus mengimbau semula nilai nostalgia yang telah lama ditinggalkan.

PELAKON Ma Yili membawakan watak sebagai Su Wenli dalam drama rantaian HBO GO bertajuk Miss S.

Menampilkan 120 bintang undangan, naskhah tersebut mengisahkan tentang seorang wanita bernama Su Wenli yang ingin merungkai misteri kehilangan salah seorang ahli keluarganya dalam sebuah tragedi pembunuhan.

Meskipun telah sedekad berlalu tetapi Su Wenli masih tidak mengetahui punca kejadian tersebut.

Tidak hanyak memberi fokus terhadap kisah misteri, drama Miss S juga memperlihatkan babak aksi dan mendebarkan selain diselitkan unsur romantik bagi menghiburkan penonton.

Karakter

Membawa watak sebagai Su Wenli, aktres popular Ma Yili melihat karakter tersebut sebagai seorang wanita yang berkeyakinan tinggi serta berani berdepan pelbagai halangan.

“Karakter Su Wenli adakalanya menggambarkan seperti diri saya kerana dia merupakan seorang yang mudah mesra, sentiasa gembira dan berfikiran positif.

“Tetapi sifat keberanian yang dimilikinya tidak ada pada saya. Disebabkan itu, sebagai wanita saya berasa kagum akan personalitinya,” kata Ma Yili mengenai wataknya.

Biarpun Ma Yili banyak merangkul trofi pelakon wanita terbaik seperti menerusi Anugerah Huading Ke-25 pada 2019 dan Festival Filem Venice ke-75 (2018), dia bagaimanapun mengakui mengambil masa sekitar dua tahun untuk ‘menghadam’ skrip tersebut.

NASKHAH Miss S memaparkan misteri kehilangan dan kejadian pembunuhan yang disiasat oleh Su Wenli dan Detektif Luo lakonan Vengo Gao Weiguang.

Dalam tempoh tersebut, Ma Yili memberi tumpuan dalam membuat kajian selain melakukan latihan untuk menghidupkan karaker Su Wenli secara semula jadi.

“Disebabkan kurang terlibat dalam genre sebegini, saya mengalami kesukaran saat pembacaan skrip. Hal ini kerana pembacaan dan visual adalah dua perkara berbeza, terutama melibatkan babak pengintipan,” jelasnya.

Memegang peranan sebagai pelakon utama, karakter Su Wenli pasti dilihat sebagai wanita serba hebat dan mampu melakukan apa sahaja tanpa bantuan sesiapa.

Menurut Ma Yili, pemikiran sebegitu turut diterapkan dalam drama tersebut namun telah diubah suai hasil perbincangan bersama dengan pengarah, Deng Ke.

Disebabkan enggan kelihatan terlalu sempurna sementelah latar masa juga menunjukkan tahun 1930-an, Ma Yili mengambil pendekatan untuk menyeimbangi karakter Su Wenli dengan Detektif Luo lakonan Vengo Gao Weiguang.

“Beberapa babak aksi dalam skrip asal telah diubah mengikut kesesuaian kerana pada pendapat saya Miss S (Su Wenli) tidak sepatutnya dilihat terlalu sempurna.

“Jika dia hebat hingga tiada tandingan, mengapa perlu meminta bantuan daripada Detektif Luo,” ujar pelakon berusia 44 tahun itu.

Drama Miss S dapat ditonton setiap Isnin hingga Jumaat menerusi HBO atau saluran Astro On Demand bermula 5 Oktober. Siri berkenaan juga boleh dilayari menerusi saluran www.hbogoasia.com selain muat turun aplikasi HBO GO menerusi App Store atau Play Store.

WATAK Su Wenli memberikan pengalaman baharu buat Ma Yili kerana selama ini dia kurang terlibat dalam genre berbentuk penyiasatan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI