fbpx

Cari cara sesuai tegur jemaah terlupa bawa sejadah, pelitup muka- Zulkifli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli

PUTRAJAYA – Jawatankuasa masjid dan surau diingatkan supaya lebih mengutamakan pendekatan sesuai ketika menegur jemaah yang terlupa membawa sejadah atau pelitup muka ketika mahu menunaikan solat di masjid atau surau.

Peringatan itu diutarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada sidang akhbar semalam.

Zulkifli berkata, beliau terpanggil untuk menyampaikan luahan segelintir anak kariah setempat mengenai perkara itu.

Menurutnya, beliau percaya hal-hal sebegini boleh diselesaikan dengan baik.

“Saya juga mahu pihak jawatankuasa masjid dan surau supaya boleh sediakan sejadah dan pelitup muka bagi yang terlupa untuk membawanya.

“Kadangkala kita tergesa-tergesa, memang biasa tertinggal barang yang penting. Besar pahalanya bagi mereka yang memudahkan urusan umat Islam lain untuk beribadah,” katanya.

Beliau juga mengingatkan jawatankuasa masjid dan surau supaya sentiasa mengingatkan anak kariah masing-masing supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Zulkifli turut mencadangkan masjid dan surau di zon hijau dan kuning supaya menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan dan pemandu e-hailing termasuk mereka yang bermusafir untuk menunaikan solat.

Menurutnya, beliau mencadangkan kepada pihak pengurusan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta pusat beli-belah supaya membuka surau masing-masing khususnya di kawasan zon hijau dan kuning.

“Saya amat memahami keluhan umat Islam yang ingin ia dibuka seperti biasa untuk memudahkan urusan ibadah.

“Justeru, saya mencadangkan kepada pihak pengurusan agar surau-surau ini turut dibuka namun hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan,” katanya.

Menyentuh mengenai kekeliruan orang ramai mengenai penjarakan fizikal ketika menunaikan solat, Zulkifli berkata, sudah ada perbahasan antara ulama hadis dan ulama fekah mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, penularan wabak Covid-19 adalah perkara baharu bagi negara dan ulama semasa sudah adakan ‘ijtihad’ (proses penyelidikan serius oleh sarjana islam untuk terbitkan hukum hakam bersifat amali) bagi mengeluarkan fatwa mengenainya.

“Dek Covid-19 yang mengganas dan cukup mudah dijangkiti apabila SOP tidak dilaksanakan, maka badan-badan fatwa antarabangsa sepakat menyatakan tiada halangan terhadap penjarakan fizikal dalam saf ketika solat berjemaah,” katanya.

Katanya, isu itu bukanlah dibuat berdasarkan pendapat peribadi atau perseorangan tapi dilihat dengan neraca syarak demi memelihara agama Islam itu sendiri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI