fbpx

Bajet harapan rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD TURMADZI MADUN, PENGARANG BERITA KOSMO.

Sehingga 2020, belum pernah lagi pembentangan belanjawan atau bajet oleh Menteri Kewangan tidak menyebut mengenai rakyat.

Semua unjuran kewangan untuk dibelanjakan pada tahun berikutnya oleh kerajaan dibuat demi rakyat. Selalunya golongan B40 yang paling banyak menerima faedah daripada bajet ini.

Habuan untuk golongan M40 adalah sedikit. Untuk golongan atasan yang gajinya mencecah lima angka sebulan tengok pada nasib. Tapi selalunya jarang ada habuan untuk mereka.

Namun, bajet yang bakal dibentangkan pada sidang Parlimen ke-14 Jumaat ini agak berbeza. Bajet kali ini perlu dilakukan dengan penuh teliti kerana kita semua berada dalam keadaan yang tidak menentu gara-gara Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan melalui Facebook Live kelmarin merayu semua Ahli Parlimen meluluskannya demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, kesemua Ahli Parlimen perlu meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan lain.

Ketika ini, semua pihak mengharapkan mereka meraih sesuatu daripada bajet. Rata-rata rakyat sedang susah dan ada yang tidak mempunyai wang membeli makanan untuk diletakkan di atas meja makan rumah masing-masing.

Bagi mereka yang gagal mengawal emosi dan tidak nampak jalan untuk meneruskan kehidupan, mereka mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.

Makin hari, makin banyak berita yang kita dengar mengenai kes sebegini. Kerajaan perlu prihatin dengan trend ini.

Ramai rakan yang kita kenali dahulu bekerja di dalam bilik mempunyai pendingin hawa dan bertali leher kini membuka payung di tepi jalan untuk menjual makanan atau minuman.

Berapa ramai pula juruterbang, anak-anak kapal dan pekerja di syarikat penerbangan terkesan dengan keadaan ini.

Ramai dalam kalangan mereka kehilangan pekerjaan dan sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi budak penghantar.

Namun, yang paling terkesan ialah mereka yang mendapat gaji hari sebelum koronavirus menyerang dunia pada hujung tahun lalu.

Bayangkan dengan tidak boleh bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dan disambung pula dengan PKP Pemulihan, PKP Diperketatkan dan PKP Bersyarat di sesetengah kawasan sudah tentu memberi tekanan yang hebat buat mereka sekeluarga.

Entah bila koronavirus itu akan lenyap di muka bumi ini tiada siapa yang dapat menjangkanya. Saban hari virus itu makin kuat dan cepat tersebar dalam kalangan manusia.

Kita sedang berperang dengan benda yang tidak dapat dilihat dan hanya dengan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan boleh mengekang penularan virus jahat itu.

Harapan sekarang hanyalah pada kehidupan pada masa kini. Apa pun penulis pasti kerajaan sudah mempunyai perancangan Bajet yang membantu kehidupan semua lapisan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI