PUTRAJAYA – Salah seorang rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotila (GSF) 2.0, Razman Mat Ali perlu meneruskan rawatan kira-kira dua minggu lagi di Istanbul, Turkiye selepas disahkan menghidap ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor ekoran ditumbuk tentera Israel.
Susulan itu, Razman, 38, yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak dapat menyertai seramai 28 delegasi Malaysia yang diculik Israel pulang ke tanah air pada malam ini.
Menurut Razman, keadaan terkini beliau dilaporkan sudah beransur baik selepas menjalani rawatan sejurus tiba di Istanbul.
“Alhamdulillah selepas pembedahan, kesakitan yang saya alami semakin baik yang mana kalau mahu dibandingkan ketika ditahan Israel, saya mengalami sesak nafas dan sakit anggota badan.
“Ketika itu, jika mahu baring rasa sakit selain nafas juga pendek serta ada kesakitan di bahagian dada.
“Saya disahkan menghidapi paru-paru bocor dan pasukan perubatan perlu menebuk organ itu, jika lambat dapat rawatan, ia juga boleh sebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Terdahulu, Razman merupakan antara 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi pelayaran GSF 2.0 bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum diculik Israel ketika berada di perairan antarabangsa.
Katanya, dia perlu menerima rawatan sekurang-kurangnya sekitar dua minggu di Istanbul selepas selesai pembedahan dan tidak boleh segera pulang ke Malaysia.
“Jangkaan berapa lama di sini bergantung kepada tanap kesihatan saya. Jika dapat sembuh segera, maka lebih cepat untuk pulang ke Malaysia.
“Bagaimanapun, untuk penyakit ini, saya tidak boleh terus pulang selepas keluar hospital, sebaliknya perlu rehat dan dipantau lebih dua minggu sebelum dapat pulang,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai layanan ketika ditahan Israel, Razman berkata, peserta misi menerima layanan kejam ketika berada di Ashdod termasuk berdepan serangan gangguan seksual.
“Ketika di Ashdod paling teruk, kami kena pukul beramai-ramai sambil tangan diikat selain berdepan gangguan seksual dan dipaksa menjadi seperti binatang.
“Semua kekejaman itu adalah bukti hidup tanda kezaliman Israel dan GSF akan bawa ke Makhamah Antarabangsa untuk melawan rejim itu menerusi saluran undang-undang.
“Kita perlu fokus kepada isu kezaliman Israel. Rakyat Gaza tidak dapat membela diri, maka kami aktivis yang cedera ini ialah bukti untuk mengeret Israel ke muka pengadilan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














