fbpx

Sri Lanka pulangkan sampah dari Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

COLOMBO – Pihak berkuasa Sri Lanka kini dalam proses menghantar semula 242 kontena berisi bahan buangan berbahaya termasuk bahagian anggota badan manusia dari rumah mayat kembali ke Britain hari ini.

Penghantaran semula tersebut berjaya direalisasikan selepas kumpulan aktivis alam sekitar negara itu memenangi perbicaraan di mahkamah yang memakan masa dua tahun sejak 2018.

Sejak beberapa tahun lalu, segelintir negara Asia mula bertindak balas terhadap perbuatan negara-negara maju yang sengaja mengirimkan sisa buangan mereka ke negara-negara miskin dan membangun dengan menghantar semula bahan buangan berkenaan ke negara asal.

Ia merupakan langkah drastik bagi mencegah negara Asia menjadi tapak pembuangan sampah dunia.

Jurucakap Jabatan Kastam Sri Lanka, Suni Jayaratne berkata, sebanyak 20 kontena mengandungi bahan buangan perubatan termasuk anggota badan manusia dari rumah mayat telah dipunggah ke dalam kapal MV Texas Triumph kelmarin, manakala 65 kontena lagi akan dihantar dalam tempoh seminggu.

“Baki kontena akan dihantar pulang ke Britain sebaik sahaja terdapat laluan yang boleh digunakan,” katanya.

Dua minggu lalu, mahkamah rayuan Sri Lanka telah mengarahkan pemulangan semula bahan buangan biologi daripada hospital serta bertan-tan plastik import sebagai respon terhadap pencerobohan peraturan penghantaran tempatan dan antarabangsa.

Barang buangan import itu tiba di Sri Lanka sejak September 2017 hingga Januari 2018.

Pusat Keadilan Alam Sekitar (CEJ) telah membuat petisyen kepada mahkamah agar kerajaan Sri Lanka tidak menerima kontena berisi sampah-sarap itu.

Pihak kastam tidak mendedahkan kandungan bahan buangan itu tetapi sumber memberitahu ia termasuk permaidani, kain pembalut dan anggota badan manusia dari rumah mayat.

Pada bulan September tahun ini, sebanyak 235,868 kilogram (kg) bahan buangan telah dibahagikan kepada 21 kontena untuk dihantar balik ke Britain selepas negara itu bersetuju menerima kembali sampah mereka.

Pihak berkuasa tempatan menemui bahan buangan baharu itu selepas tindakan undang-undang diambil untuk 242 kontena terdahulu yang disimpan di pelabuhan Colombo iaitu lokasi bebas cukai berdekatan ibu negara.

Pihak berkuasa kastam Sri Lanka bertegas, kontena yang dibawa masuk ke negara itu adalah melanggar undang-undang antarabangsa di bawah kesalahan mengirim bahan buangan berbahaya termasuk plastik.

Selain Sri Lanka, negara seperti Malaysia, Filipina dan Indonesia turut mengambil langkah serupa dengan menghantar semula bahan buangan kepada negara asal yang mengirimnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI