fbpx

Polis Marin rampas rokok seludup RM2.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azuhar bersama hasil rampasan sebilangan 19, 000 karton rokok seludup di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Tok Bali, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan sindiket yang membawa masuk sebanyak 19,000 karton rokok seludup bernilai RM2.9 juta dalam serbuan di tebing sungai Pengkalan Ubi Keling dekat Besut semalam.

Dalam serbuan pada pukul 5.30 petang itu, PPM Wilayah Tiga Tok Bali turut merampas tiga bot laju dipercayai bot pelancongan yang digunakan untuk membawa rokok-rokok berkenaan.

Ketua Bahagian Operasi Risik PPM Wilayah Tiga, Deputi Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, serbuan dijalankan oleh anggota PPM sewaktu menjalankan Ops Benteng Covid-19 sebelum mendapat maklumat mengenai kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sewaktu serbuan dijalankan, anggota PPM turut melihat kelibat empat orang dipercayai pengendali bot berkenaan bertindak meloloskan diri ke kawasan gelap selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa yang mendekati ke arah bot mereka.

Katanya, ketiga-tiga bot yang dibawa ke Pangkalan PPM Tok Bali dianggarkan bernilai RM11,000 menjadikan keseluruhan hasil rampasan mencecah hampir RM4 juta.

“Pemeriksaan terhadap bot pertama membawa kepada penemuan sebanyak 12,000 karton rokok berjenama ‘Zon King’ manakala bot kedua pula mengandungi 4,000 karton rokok jenama yang sama.

“Bot ketiga pula sarat dengan muatan 3,000 karton rokok juga dari jenama yang sama,” katanya pada sidang media di Jeti Pangkalan PPM Wilayah Tiga Tok Bali di sini hari ini.

Azuhar berkata, selepas menunggu selama 30 minit, anggota PPM bertindak merampas dan menunda masuk bot serta rokok ke Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Tok Bali malam tadi.

Katanya, siasatan lanjut mendapati rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran yang dibawa oleh kapal kargo ke tengah laut menerusi perairan antarabangsa.

Tambahnya, transaksi jual beli rokok itu dilakukan tengah laut oleh kumpulan sindikit sebelum ia dibawa masuk oleh bot tempatan melalui perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Rokok ini dipercayai akan dijual di negeri-negeri yang terletak di Pantai Barat negara ini kerana jenama Zon King tidak dijual di Kelantan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI