HENRY GOLDING

Godaan pesona Henry Golding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK filem Crazy Rich Asians dan A Simple Favor ditayangkan pada 2018, nama Henry Golding meledak jadi buah mulut dan pujaan peminat terutamanya dalam kalangan wanita.

Bukan sahaja memiliki pesona sang aktor penuh karakter, seksi dan berkredibiliti, lelaki kelahiran Sarawak itu semakin aktif mengukuhkan posisi di pentas antarabangsa.

Muncul dengan filem The Gentlemen pada tahun ini, Henry kini nyata memperkasakan pengaruhnya berbalut kostum adiwira.

Melihat kepada fizikalnya yang tinggi lampai dan bertubuh sasa, siapa sangka Henry mampu menangis saat awal menyarung kostum bagi menghidupkan watak sebagai Snake Eyes.

Sewaktu awal penggambaran, Henry mengakui berasa tidak selesa, terutama ketika ingin mencangkung dan membuang air.

BERDARAH campuran British-Malaysia, Henry kerap berasa keliru kerana tidak sepenuhnya dilihat sebagai lelaki Inggeris dan sekiranya pulang ke Malaysia, dia juga tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik. – INSTAGRAM HENRY/GQ.COM

“Sejujurnya kostum itu amat menyakitkan dan watak itu pula banyak pergerakan fizikal. Bagi saya, naskhah tersebut lebih ke arah filem seni mempertahankan diri berbanding kisah seorang adiwira.

“Mulanya saya berasa amat benci kerana sangat terganggu, terutama ketika ingin ke tandas. Minggu pertama pengambaran cukup membuatkan saya terseksa sehinggakan menangis saat menelefon pengurus,” jelasnya sambil melepaskan ketawa kecil.

Menyakitkan

Melanjutkan cerita, filem bertajuk Snake Eyes tersebut merupakan naskhah prekuel karya francais G.I yang diterbitkan pada 2013 berjudul G.I Joe: Retaliation.

Tidak dinafikan aura yang dimiliki Henry melihatkan dirinya layak mendominasi watak lelaki pujaan dalam layar perak. Renungan mata dan senyumannya sahaja pasti mudah mencairkan hati khalayak.

Sebagai anak seni, Henry tetap enggan berada di takuk sama semata-mata untuk berasa selesa.

Memilih untuk mencabar kemampuan diri, Henry sanggup menyahut cabaran apabila pertama kali terlibat dalam filem aksi.

Melakukan sesuatu di luar jangka, Henry rela menanggung sakit demi meraih kepuasan melihat hasil lakonannya.

“Satu pengalaman luar biasa kerana saya perlu menjalani latihan seni mempertahankan diri sehingga adakalanya amat menyakitkan.

“Tetapi tidak mengapa kerana segala usaha itu berbaloi termasuk dapat mengukuhkan portfolio sebagai pelakon,” jelasnya mengenai filem arahan Robert Schwentke itu.

Ekoran pandemik Covid-19, karya edaran Paramount Pictures yang seharusnya menemui penonton pada tahun ini telah ditunda tarikh tayangan pada Oktober 2021.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam Snake Eyes, Henry turut berkongsi tentang penerimaan khalayak global terhadap pelakon berdarah campuran Asia sepertinya.

KATA Henry: “Semasa kerjaya lakonan di Hollywood masih terumbang-ambing, tawaran ini datang dan saya terus jatuh cinta. Bukan kerana disebabkan kisahnya melibatkan kehidupan masyarakat Asia tetapi filem ini secara tidak langsung menjentik hati saya tentang asal usul dan budaya.”

Diaspora Asia

Terkadang timbul rasa celaru dalam dirinya tatkala berbicara tentang latar belakang, terutama melibatkan budaya. Kerap dia tersenyum sendiri mengenang memori zaman kanak-kanak apabila ada yang melihat fizikal dengan pandangan pelik kerana memiliki darah campuran British-Malaysia.

Melihat kemunculan dalam filem Crazy Rich Asians, mudah buat khalayak menelah dirinya datang dari negara Asia.

Tatkala media antarabangsa heboh mengatakan lelaki berumur 33 tahun itu datang dari Malaysia, secara tidak langsung dilihat sebagai satu kejayaan buat negara.

“Ketika berada di Britain sewaktu kecil, kawan-kawan berasa kagum dan tidak menyangka bahawa saya berdarah campuran kerana perkara itu sesuatu yang luar biasa.

“Berbeza sekarang. Masyarakat Asia telah banyak berhijrah ke luar negara. Begitu juga warga tempatan,” tuturnya.

Melanjutkan cerita tentang budaya, Henry bakal muncul dengan filem baharu bertajuk Monsoon bermula 13 November depan. Mungkin ramai yang mengatakan karya tersebut sebuah filem baharu.

SEHINGGA kini Henry tidak dapat melupakan kejayaan filem Crazy Rich Asians yang telah membuka banyak peluang buatnya.

Ironinya, tawaran terlibat dalam naskhah tersebut diterima terlebih dahulu sebelum Crazy Rich Asians ditayangkan.

“Semasa kerjaya lakonan di Hollywood masih terumbang-ambing, tawaran ini datang dan saya terus jatuh cinta. Bukan disebabkan kisahnya melibatkan kehidupan masyarakat Asia tetapi filem ini secara tidak langsung menjentik hati saya tentang asal usul dan budaya.

“Dengan berdarah campuran British-Malaysia, adakah saya sepenuhnya orang Inggeris atau harus mengamalkan cara hidup orang Malaysia. Saya sendiri keliru,” jelas Henry bersungguh-sungguh.

Henry juga sempat melontarkan persoalan tentang statusnya yang memiliki taraf kerakyatan di negara bukan tanah tumpah darahnya.

Soal Henry, adakah dengan memiliki pasport Britain membuatkan dirinya asli orang Inggeris atau disebabkan lahir di Malaysia, itu sudah cukup untuk mencerminkan dirinya sebagai rakyat Malaysia.

Cukup sekadar memberikan pandangan tentang persoalan dan jawapan yang hanya dalam dirinya, Henry berpegang pada satu predikat, di mana bumi berpijak, di situ langit dijunjung.

HENRY bakal muncul dengan filem Snake Eye tahun depan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN