fbpx

Pengurup wang rugi RM24 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERNIAGAAN pengurup wang mengalami kemerosotan ketara sejak Mei lalu ekoran penularan pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR – Perniagaan pengurup dan pengiriman wang di seluruh negara mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM24 bilion dalam tempoh enam bulan sejak Mei lalu ekoran penularan pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB), Datuk Seri Jajakhan Kader Gani berkata, secara purata perniagaan tersebut me­ngalami kemerosotan sebanyak RM4 billion sebulan yang mana antara lain disebabkan transaksi pertukaran mata wang yang merosot sehingga 60 peratus.

Katanya, kerugian yang dialami ejen pengurup dan pengiriman wang turut disumbang oleh kemerosotan transaksi pengiriman wang yang merosot sehingga 20 peratus.

“Urus niaga pertukaran mata wang di Malaysia dianggarkan bernilai kira-kira RM70 bilion setahun dan ia telah merosot antara 50 hingga 60 peratus sejak Mei tahun ini iaitu kira-kira RM40 bilion.

“Transaksi pengiriman wang yang dianggarkan bernilai kira-kira RM30 bilion setahun pula berkurangan antara 10 hingga 20 peratus.

“Sememangnya kami cemas dan risau dengan keadaan ini. Ahli kami (MAMSB) yang mengambil pinjaman bank berdepan cabaran lebih getir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Untuk rekod, MAMSB ketika ini mempunyai seramai 300 ahli berdaftar melibatkan sebanyak 3,000 cawangan ejen pengurup dan pengiriman wang di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Jajakhan mene­rangkan, perniagaan pengurup dan pengiriman wang di seluruh negara ditutup pada Mac lalu di­sebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, seperti kebanyakan perniagaan lain, ejen pengurup dan pengiriman wang hanya dibenarkan beroperasi kembali oleh pihak berkuasa pada Mei lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah pelancong keluar dan masuk ke negara ini selepas tempoh tersebut berkurangan menyebabkan urus niaga pertukaran mata wang yang diperoleh ejen pengurup dan pengiriman wang mengalami kemerosotan.

Kata beliau, transaksi pertukaran mata wang oleh pelanggan korporat yang terlibat dalam urus niaga import atau eksport juga berkurangan sekali gus memberi kesan terhadap perniagaan itu.

“Keadaan bertambah sulit buat ejen pengurup dan pengi­riman wang yang menyewa pre­mis perniagaan apabila pemilik premis enggan menangguhkan atau mengurangkan sewa pre­mis,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Jajakhan menjangkakan kebanyakan ejen pengurup dan pengiriman wang masih dapat bertahan sehingga penghujung tahun ini sebelum keadaan bertambah mencabar bagi tempoh enam bulan pertama tahun depan.

Jelasnya, ada ejen pengurup dan pengiriman wang terpaksa menanggung kos perniagaan sehingga RM50,000 dan RM100,000 sebulan menyebabkan wang tunai mereka semakin berkurangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI