fbpx

Dapat dua cap jari dari Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

SEREMBAN – Penolong Pendaftar Penjenayah, Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Puwira Jaya Othman memberitahu Mahkamah Koroner Seremban pihaknya memohon kepada pihak berkuasa Perancis 10 sampel cap jari Nora Anne Quoirin untuk membantu siasatan.

Menurutnya, hasil permohonan itu hanya dua salinan cap jari berjaya diperoleh.

Katanya, beliau menerima surat bertarikh 13 Ogos 2019 yang merupakan salinan cap jari telunjuk kiri dan jari hantu kiri milik mangsa dari National Central Bureau Interpol Perancis.

“Saya telah membuat perbandingan cap-cap jari yang diterima dan mendapati kesan ‘unsolved latents’ pada penghantaran 5 Ogos 2019 dan 13 Ogos 2019 adalah tidak serupa dengan cap jari hantu kiri dan telunjuk kiri Nora Anne,” katanya di hadapan Koroner, Maimoonah Aid.

Puwira Jaya merupakan Saksi ke-34 pada prosiding inkues kematian Nora Anne Quoirin yang dikendalikan oleh Pegawai Inkues, Nurhafiza Haron.

Tambahnya, pada 3 Oktober 2019 beliau telah menerima sampel cap jari daripada Pegawai Turus D2 Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan, Inspektor Sakinah secara elektronik.

“Hasil perbandingan mendapati cap jari telunjuk kanan bagi Mohd Naseruddin Harun adalah serupa dengan cap jari di tempat kejadian.

“Penama-penama lain tidak mempunyai rekod jenayah dan dikesan dengan mana-mana ‘unsolved latents’ berkaitan kejadian,” tambahnya.

Turut memberi keterangan pada prosiding hari ke-14 ialah Saksi ke-33, Rabidin Mohd.Zin.

Nora Anne, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Orang ramai boleh menyaksikan perjalanan prosiding tersebut menerusi penstriman langsung yang disediakan oleh Badan Kehakiman Malaysia melalui portal rasmi badan itu pada pautan www.kehakiman.gov.my dan media sosial rasmi di YouTube serta Facebook:The Malaysian Judiciary.

Prosiding akan bersambung semula pada 11 November 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI