fbpx
MR. TOY kini memiliki 28 premis seluruh negara yang menyediakan rangkaian alat permainan komprehensif untuk semua peringkat umur.

25 cawangan baharu MR. TOY tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Peruncit barangan keperluan kediaman, MR D.I.Y. Group (M) Bhd. (MR D.I.Y.), berhasrat untuk memperluaskan kehadiran jenama kedai permainannya, MR. TOY dengan membuka 25 premis baharu pada tahun 2021.

Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y., Andy Chin berkata, pihaknya juga bakal membuka lapan cawangan baharu MR. TOY menjelang akhir tahun ini.

Pelan tersebut bakal menggandakan jumlah premis MR. TOY kepada 61 buah berbanding 28 premis buat masa sekarang dan menurut Andy, jenama itu disasarkan supaya memiliki kehadiran di setiap pasaran utama dan bandar-bandar di seluruh negara.

“Namun, ia bukan setakat pertumbuhan jumlah kedai, kami ingin fokus pada pertumbuhan jenama dengan mengukuhkan hubungan dengan pelanggan untuk membina kesetiaan dan mendorong pembelian berulang.

“Kami mahu berada di atas trend semasa dan sentiasa memiliki apa yang dicari oleh pelanggan serta memenuhi keperluan dalam segmen permainan tanpa menjejaskan kualiti atau formula kami untuk menyediakan harga yang boleh diakses ramai.

“Selain itu, langkah ini juga membantu membina hubungan baharu dengan pengeluar, membolehkan kami menawarkan produk lebih luas,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Produk yang ditawarkan berkualiti dan menepati formula harga mampu milik yang sentiasa dikaitkan dengan jenama MR. D.I.Y.

Menurut Andy, MR. TOY menawarkan rangkaian permainan yang luas merentasi sembilan segmen daripada bayi, kanak-kanak serta orang dewasa selain untuk minat yang pelbagai.

Jelasnya, sejak jenama itu mula diperkenalkan pada Mei tahun lalu, pasaran telah memberikan respons yang sangat positif kepada penawaran yang disediakan MR. TOY, membawa kepada pertumbuhan pesat jenama berkenaan.

“Asas pelanggan berulang kami juga bertumbuh sangat pantas, hal ini dapat dilihat menerusi saluran media sosial kami,” katanya.