fbpx
PEMANDANGAN indah sekumpulan burung pulang ke sarang menjelang waktu maghrib di kawasan Pulau Bangau di Teluk Intan.

Pesona Pulau Bangau di Teluk Intan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP hari tatkala matahari terbenam kira-kira 50,000 ekor burung pelbagai spesies terbang pulang ke sarang berkawanan setelah seharian keluar mencari makan.

Ada juga kawanan burung ini terbang rendah merentang lebar sungai yang seolah-olah kelihatan seperti kapal terbang Jepun hendak menyerang kapal musuh semasa Perang Dunia Kedua.

Maka tidak hairanlah keindahan melihat panorama memukau ini menjadi percakapan lantas memikat sebagai salah satu destinasi pelancongan di Teluk Intan, Perak.

Ribuan burung pelbagai spesies termasuk burung hijrah sejak beberapa tahun lalu menjadikan sebidang tanah beting di Sungai Perak dekat sini sebagai ‘sarang’, tetapi dilihat bak syurga bagi pencinta alam.

Ia dikenali penduduk tempatan sebagai Pulau Bangau kerana populasi burung bangau yang banyak di situ serta spesies burung lain seperti helang, enggang, purple herald, grey herald, little egret dan cattle egret.

 

KAWANAN burung bangau di atas pokok menarik perhatian pengunjung

 

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan indahnya sewaktu melihat kawanan ribuan burung terbang pulang ke sarang tatkala senja menjengah sebelum hinggap pada pucuk ranting.

Maka, tidak hairanlah panorama cukup mempersonakan ini telah menggamit kehadiran pengunjung termasuk pelancong asing yang memilih untuk menaiki bot menyusuri sungai berkenaan.

Peluang untuk menyaksikan pemandangan tersebut kini disediakan syarikat pengendali bot bagi membawa pengunjung merasai sendiri pengalaman yang mengasyikkan ini.

Antaranya oleh Shahril Pekan Enterprise yang terletak di jeti bot penambang Teluk Intan.

Jaraknya kira-kira 150 meter dari lokasi menara jam ikonik bandar ini.

Pulang ke sarang

Menurut pengusahanya, Mohd. Shahril Mustafa, masa yang sesuai untuk melihat burung-burung ini adalah ketika petang, selain dapat menyaksikan matahari terbenam.

“Kebiasaanya burung-burung ini akan keluar pada pukul 5.30 pagi untuk mencari makan sehingga ke kawasan bendang yang terletak di seberang Perak sebelum pulang ke sarang pada pukul 6.30 petang.

“Lokasi Pulau Bangau seluas 14.3 hektar ini menjadi pilihan burung-burung kerana kedudukannya yang strategik iaitu di tengah-tengah sungai yang sukar diceroboh manusia,” ujarnya.

Tambah Mohd. Shahril, river cruise sungai Teluk Intan ini mengambil masa antara 45 minit hingga 90 minit dengan kadar tambang serendah RM15 bagi kanak-kanak dan RM25 dewasa mengikut pakej yang disediakan.

 

PENGUNJUNG boleh mencuba nasib mengail udang di Sungai Perak.

 

Katanya, lebih elok jika pengunjung membawa bersama teropong kerana dapat melihat secara lebih dekat unggas-unggas ini yang bersarang pada dahan pokok atau mengepak-ngepakkan sayapnya.

Bagi pencinta foto, lebih puas hati sekiranya momen-momen indah ini dirakam menggunakan kamera lensa tunggal (DSLR).

Hasilnya lebih baik berbanding merakam gambar menggunakan kamera telefon pintar.

Lebih bagus jika bawa bersama lensa zoom jauh.

Selain river cruise ke Pulau Burung, Mohd. Shahril juga membawa pengunjung melihat 18 lokasi menarik yang terdapat sepanjang menyusuri sungai di situ.

Antaranya, serombong kapal stim tenggelam, kilang kapal kayu nelayan laut, ternakan sangkar ikan, tokong besar Buddha dan feri Pulau Rawa.

Setiap lokasi ini mempunyai ceritanya sendiri.

Sebagai anak jati Teluk Intan, Shahril yang juga merupakan seorang guru petah bercerita dan boleh menjawab soalan yang diajukan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Megat Amerudin Megat Danian berkata, keindahan panorama unggas di Pulau Bangau wajar dilawati selain berkunjung ke lokasi-lokasi lain di daerah itu.

 

SHAHRIL memberi penerangan kepada pengunjung sebelum mula menyusuri Sungai Perak di Teluk Intan.

 

Katanya, kunjungan ini melengkapkan kedatangan pengunjung selain ke Menara Jam Condong Teluk Intan yang terletak tidak jauh dari situ.

“Kerajaan negeri ketika ini dalam proses untuk mewartakan Pulau Bangau sebagai salah satu destinasi pelancongan di Teluk Intan.

“Ini berikutan kawasan ini semakin mendapat perhatian pelancong di negara ini.

“Ini juga dapat mengelak pulau tersebut diganggu pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan perlu dipelihara sepanjang masa demi anak cucu,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN