fbpx
Gambar hiasan

27 permohonan rentas negeri ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL

SEPANG – Sebanyak 27 permohonan rentas negeri ditolak daripada 1,001 permohonan yang diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasa bermula 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman berkata, kebanyakan permohonan rentas negeri yang ditolak itu adalah disebabkan tidak mempunyai alasan yang kukuh dan tidak jelas.

“Selain itu, sebanyak 32 kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, abai penjarakan fizikal dan lain-lain disamping lapan saman dikeluarkan atas kesalahan sama,” katanya pada sidang akhbar di lokasi sekatan jalan raya Covid-19 IPD KLIA di Jalan Kuarters KLIA SIC di sini hari ini.

Imran berkata, polis turut menahan seorang lelaki di sekatan jalan raya Ops Covid-19, pada 15 Oktober lalu selepas mendapati keadaannya mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lelaki yang berusia 34 tahun itu, polis telah menjumpai peket kecil berwarna putih dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.2 gram (g) bernilai RM200, yang diletakkan di dalam papan pemuka kereta.

“Lelaki itu kemudiannya ditahan polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Imran berkata, beliau mendapati tahap pematuhan masyarakat adalah sangat memuaskan iaitu di tahap 98 peratus.

Katanya, selain pelaksanaan sekatan jalan raya, pihaknya turut menubuhkan dua pasukan pemantau yang memfokuskan beberapa kawasan seperti lapangan terbang, kargo dan sekatan jalan raya.

“Oleh demikian, saya ingin mengingatkan kepada semua pengguna jalan agar mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikenakan kompaun.

“Dalam pada itu van atau bas pekerja juga dinasihatkan agar tidak membawa jumlah penumpang yang melebihi had ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE