fbpx

Tukang gunting rambut cedera dibelasah tiga lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Seorang tukang gunting rambut cedera di bahagian muka dan badan akibat dibelasah oleh tiga lelaki di Taman Sri Dungun di sini pada Rabu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, motosikal dinaiki dan wang tunai RM50 miliknya turut dilarikan ketiga-tiga suspek dalam kes yang dipercayai bermotifkan dendam tersebut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa berusia 21 tahun telah ditahan sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berkenaan sewaktu dia sedang menunggang motosikal untuk ke sebuah gelanggang futsal dari rumahnya.

“Tiga lelaki itu termasuk dua yang dikenali mangsa kemudiannya telah memukulnya sebelum membawanya ke sebuah lokasi yang tidak diketahui.

“Dia yang cedera di bahagian muka dan badan telah ditinggalkan di kawasan itu selain motosikal dan wang tunai RM50 miliknya turut dilarikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, mangsa telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Dungun di sini yang membawa kepada penahanan salah seorang suspek pada Jumaat kelmarin.

Jelas beliau, lelaki berusia 26 tahun itu telah ditahan di sebuah kedai makan di Kampung Telaga Papan, Kerteh, Kemaman pada pukul 12.30 tengah malam.

“Siasatan awal mendapati kes tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mangsa dengan salah seorang suspek.

“Dua lagi suspek yang masih bebas sedang diburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI