fbpx
Paty mati dipancung berdekatan sekolahnya di Conflans St. Honorine, utara Paris.

Guru dibunuh guna majalah Charlie Hebdo dalam kelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengesahkan remaja dipercayai pengganas telah ditembak mati oleh polis susulan kes seorang guru dipancung kepala, awal pagi Sabtu.

Suspek dikenali sebagai Aboulakh A,18, dipercayai telah memancung kepala seorang guru bernama Samuel Paty, 47, kerana tindakannya menayangkan gambar kartun Nabi Muhammad ketika sesi pembelajaran di Kolej Bois-d’Aulne, Conflans St Honorine, utara Paris, lapor portal Mirror.

Suspek kemudian melarikan diri ke pekan Eragny-sur-Oise, kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi kejadian dan enggan menyerah diri setelah dikepung polis. Aboulakh kemudian ditembak mati oleh polis ketika cuba melarikan diri dari kepungan.

Baru-baru ini, mangsa yang mengajar subjek Geografi dan Sejarah telah menjemput pelajar beragama Islam untuk meninggalkan kelas sebelum dia memulakan sesi subjek kebebasan bersuara.

Menerusi sesi tersebut Paty menayangkan kartun biadab tersebut, malah turut mempersendakan baginda.

Kenyataan rakan sekerja Samuel mengesahkan bahawa guru sekolah rendah itu menerima ugutan di luar waktu kerja berkenaan sesi kelas kebebasan bersuara itu.

Tidak lama selepas itu, Samuel ditemui mati berdekatan sekolahnya dengan kepalanya dipancung menggunakan pisau oleh Aboulakh, rakyat Rusia berketurunan Chechen.

Suspek juga sempat memuat naik klip video menunjukkan kepala Samuel yang dipancung di media sosial.
“Tindakan suspek membunuh seorang guru membuktikan bahawa niatnya hanya satu, menghapuskan republik ini dan nilai-nilai moralnya,” tegas Emmanuel dalam satu kenyataan.

Ini bukan kali pertama karikatur berkaitan Nabi Muhammad oleh Charlie Hebdo menimbulkan kekecohan keganasan seperti ini.

Seramai 12 maut dalam serangan penembak berani mati yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda di ibu pejabat Charlie Hebdo ini di Paris pada 2015. – Agensi