PETALING JAYA – Seorang guru mengambil inisiatif murni dengan membelikan sebuah beg sekolah baharu buat seorang pelajarnya yang hanya mengunakan beg usang.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @pinn.yang.01, guru wanita berkenaan dilihat memanggil pelajar lelaki terbabit sebelum menghulurkan beg galas berwarna hitam kepadanya.
Pelajar tersebut dilihat sebak dan berkali-kali meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat serta berterima kasih atas pemberian yang tidak disangka itu.
Keikhlasan guru tersebut mencetuskan pelbagai reaksi positif dalam kalangan orang ramai yang rata-ratanya kagum dengan keprihatinan yang ditunjukkan itu.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai turut berkongsi tentang pengalaman yang sama pernah dilalui oleh mereka.
“Aku sebak tengok ini sebab sekarang terjadi pada anak aku. Cikgu dan ustazah belikan baju raya untuk anak aku, dalam keadaan aku yang tak berapa sihat, terima kasih cikgu” kata pengguna Pok Pian.
“Saya masih ingat lagi dulu cikgu saya macam ini, siap bagi tuisyen percuma dekat rumah dia. Kami tak pernah rasa hina di zaman saya,” kata pula pengguna Daughter of Gopal.
“Begini lah kami sebagai guru, sedih bila anak murid berkira-kira nak makan, pakai kasut koyak, baju tidak bertukar. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kami melalui anak murid kami,” ujar pengguna Its me.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih lebih 936,200 tontonan, tanda suka sebanyak 58,300 serta 2,188 perkongsian. – KOSMO! ONLINE














