PONTIAN – Seorang guru mata pelajaran Prinsip Akaun maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 2.2 Jalan Seri Menanti – Parit Sikom, Kampung Parit Haji Adnan, Pekan Nanas, petang semalam.
Mangsa, Jamaliah Aris, 37, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yunos Sulaiman di sini disahkan meninggal dunia selepas hampir lima jam bertarung nyawa.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika mangsa memandu bersendirian kereta jenis Toyota Vios dari arah Kampung Parit Basilam.
“Setibanya di persimpangan Kampung Parit Basilam, mangsa dipercayai ingin membelok ke kanan sebelum dilanggar sebuah lori Isuzu berwarna putih yang datang dari arah Pekan Nanas.
“Lori tersebut tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian kanan kenderaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat pelanggaran kuat itu, mangsa mengalami kecederaan dalaman serius sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira pukul 8.30 malam.
“Pemandu lori berusia 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah ketika kenderaan mangsa keluar dari simpang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














