fbpx

K2

TEKNIK mengilat antara yang digunakan kaki pancing untuk menjinakkan ikan di Tasik Kenyir.

Asah skil memancing di Tasik Kenyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASIK Kenyir yang terletak di sempadan daerah Hulu Terengganu dan Gua Musang, Kelantan tidak perlu diperkenalkan lagi kepada kaki pancing di negara ini.

Ia merupakan tasik buatan terbesar di negara ini dengan keluasan 209,199 hektar yang ‘terbina’ menerusi pembukaan Stesen Jana Kuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud pada tahun 1988.

Struktur geografinya yang membentuk 340 pulau dan 14 air terjun menjadi habitat kepada beberapa spesies ikan sungai berkelas tinggi seperti kelah, sebarau, lampan, baung, tengas dan toman.

Maka tidak hairanlah ia menggamit keghairahan kepada kaki pancing di seluruh negara untuk menguji dan mengasah skil masing-masing menjinakkan ikan air tawar di situ.

Kebanyakan pemancing memasuki Tasik Kenyir dengan menyewa perkhidmatan rumah bot yang kebanyakannya berpengkalan di Pengkalan Gawi.

Buat masa ini, terdapat kira-kira 90 pengusaha rumah bot, kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan yang mengetahui selok-belok lubuk memancing di Tasik Kenyir.

Mereka bukan sahaja menawarkan kemudahan selesa sepanjang percutian santai di tasik tersebut, malah juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu untuk menjinak ikan.

Ada juga menawarkan pakej tukang masak yang mahir menyediakan hidangan lazat daripada ikan-ikan yang berjaya ditangkap secara segar oleh pemancing.

 

IKAN tengas yang berjaya dijinakkan pemancing.

 

Setiap rumah bot itu boleh disewa pada kadar antara RM1,300 hingga RM2,500 semalaman dengan kapasiti sehingga 25 orang.

Bagi seorang kaki pancing, Syaiful Mustafa, 35, berkata, dia gemar meluangkan masa bersama rakan-rakan yang turut mempunyai hobi memancing di Tasik Kenyir.

Penjawat awam yang berasal dari Batu Enam, Kuala Nerus itu berkata, antara lubuk ikan kegemarannya di tasik berkenaan adalah Sungai Kiang, Sungai Lawit, Sungai Terengganu dan muara Sungai Cacing.

“Kesemua lubuk itu boleh diakses dengan menggunakan rumah bot atau bot laju dalam tempoh sejam hingga empat jam dari Jeti Pengkalan Gawi.

“Permit daripada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diperlukan jika kita mahu memasuki lubuk ikan yang terdapat di kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

 

BOT yang disediakan pengusaha digunakan untuk menerokai lubuk terpencil yang mempunyai banyak ikan sebarau dan toman.

 

Berkongsi pengalamannya, dia berkata, pelbagai teknik boleh dipraktikkan untuk menjinak ikan air tawar di Tasik Kenyir yang memberi pengalaman mengujakan buat kaki pancing.

Ujarnya, antara teknik memancing berkenaan ialah mengilat (casting), permukaan, bawah dan menunda bergantung dengan jenis ikan yang hendak diumpan dan lokasi lubuk tersebut.

“Kita biasanya menggunakan teknik memancing di permukaan untuk menjerat ikan lampam, manakala ikan belida, baung, toman dan kelah pula menerusi teknik bawah.

“Sebahagian lubuk sebarau dan toman pula agak terpencil dan kita memerlukan kemudahan bot laju yang disediakan pengusaha untuk menerokainya,” ujarnya.

Seorang lagi pemancing, Suhaimi Abd. Rahman, 55, berkata, pemancing yang ingin menjerat ikan sebarau digalakkan untuk berkunjung ke Tasik Kenyir pada musim tengkujuh dari bulan November hingga Februari setiap tahun.

Sebaliknya, dia memberitahu ikan kelah pula dikatakan lebih mudah ditangkap pada bulan Mac hingga September.

“Selain gewang sesudu, umpan kegemaran yang sering untuk menjinak ikan di Tasik Kenyir ialah sawit peram, roti, dedak, isi ikan, ikan hidup dan cengkerik,” katanya.