fbpx
Tertuduh didapati telah menodai anak saudaranya yang ketika itu berumur enam tahun di rumahnya kira-kira pukul 2 petang di Taman Tanjung Minyak Utama, dalam daerah Melaka pada awal Disember 2013.

Pesara tentera dijel 13 tahun, enam sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Tindakan terkutuk seorang pesara tentera menodai dan melakukan seks luar tabii terhadap anak saudaranya berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim, Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 48 tahun selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menodai mangsa yang merupakan anak saudaranya yang ketika itu berumur enam tahun di rumahnya kira-kira pukul 2 petang di Taman Tanjung Minyak Utama, dalam daerah Melaka pada awal Disember 2013.

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didapati dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama kira-kira pukul 2.10 petang, di tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pertama kali didakwa pada 25 Mei 2015 lalu selepas ibu bapa mangsa berjaya menghidu tindakan terkutuk tertuduh dan membuat laporan polis gara-gara sikap kanak-kanak itu tiba-tiba berubah menjadi agresif.

Mangsa dikatakan pernah bertindak menekup muka adik lelakinya menggunakan bantal dan menjelaskan perbuatan itu turut dilakukan tertuduh terhadapnya.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira umur mangsa yang hanya berusia enam tahun ketika kejadian, selain hubungan mangsa iaitu anak saudara yang sepatutnya dilindungi.

Malah hujahnya, mangsa yang kini berusia 13 tahun masih fobia dengan kejadian itu dan disahkan mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD).

Tertuduh yang diwakili Peguam N. Gunalan bagaimanapun merayu hukuman ringan dapat diberikan dengan alasan anak guamnya menghidap asma yang teruk, selain perlu menanggung ahli keluarga.

Norma kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, namun mengarahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dikemukakan sepanjang prosiding berlangsung sejak 26 Mei 2015.-K!ONLINE

POPULAR