fbpx

Perak II ikat Kuala Lumpur di Manjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Perak II, S. Pavithran (kiri) berusaha keras menghalang asakan pemain pelawat, Paulo Josue Sturmer Dos Reis pada aksi Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi. - Foto IHSAN PAFA

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Perak II menyekat hasrat Kuala Lumpur mengutip mata penuh apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini malam ini.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu mengasak kubu lawan seawal minit kelapan namun tandukan N. Thanabalan hanya menerjah jaring kiri di luar gawang.

Minit ke-25 pula menyaksikan tendangan dari luar kotak penalti Khairul Syafiq Mustaffa tepat ke dakapan penjaga gol pelawat, Muhammad Zamir Selamat.

Peluang terbaik Kuala Lumpur diperolehi menerusi dua sepakan percuma yang diambil oleh ketua pasukan, Paulo Josue Sturmer Dos Reis, pada minit ke-38 dan ke-43.

Namun kedua-dua tendangan itu menuju ke arah penjaga gol tuan rumah, Muhammad Farhan Abdul Majid untuk diselamatkan.

Tiga minit selepas aksi babak kedua bermula, hantaran lambung Muhammad Izzat Mohd Ramlee tepat ke arah Thanabalan tetapi tindakan pantas Muhammad Zamir menyelamatkan gawang Kuala Lumpur.

Minit ke-52 tandukan lemah Kouassi Francis Kone menyelamatkan gawang tuan rumah walaupun hanya berdepan Muhammad Farhan sahaja untuk ditewaskan.

Khairul Asyraf Sahizah pula dua kali berpeluang mencetak nama sebagai penjaring Perak II namun tandukannya pada minit ke-54 sipi di atas palang gol manakala rembatannya tujuh minit kemudian ditepis Muhammad Zamir.

Minit akhir permainan, Kuala Lumpur hampir mengutip tiga mata namun rembatan Paulo Josue Sturmer di depan gawang ditepis Muhammad Farhan.

Kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan sehingga tamat perlawanan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI