fbpx

Kumpulan pertama jururawat dihantar ke Sabah perangi Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Seramai 11 jururawat dari Kementerian Kesihatan terpilih menjadi kumpulan pertama jururawat yang dihantar ke Sabah bagi memerangi Covid-19.

Jururawat dari Institut Kanser Negara (IKN), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Dungun itu berlepas ke Sabah pagi tadi.

Perkara itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi laman sosial peribadinya, sebentar tadi.

Noor Hisham berkata, kumpulan pertama jururawat itu akan ditempatkan di Hospital Tawau dan Hospital Semporna.

Beliau berkata, mereka adalah kelompok pertama pasukan jururawat yang akan dimobilisasi dari Semenanjung Malaysia secara berfasa bagi membantu pasukan perubatan di hospital-hospital yang terkesan akibat peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

“Lima daripada mereka akan ditempatkan di Hospital Semporna manakala, enam orang lagi akan ditugaskan di Hospital Tawau.

“Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap-sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya, beliau bagi pihak rakyat Malaysia ingin merakamkan ucapan terima kasih diucapkan kepada wira dan wirawati negara ini.

Sebelum ini, Noor Hisham memaklumkan, seramai 140 Pegawai Perubatan dan 225 orang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) akan ditempatkan di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengikut kekosongan dan keperluan perkhidmatan semasa, termasuk di klinik, hospital dan Pejabat Kesihatan kawasan seluruh Sabah.

Menurutnya, mobilisasi pasukan bantuan kesihatan itu mula digerakkan 23 September lalu khususnya ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak di Sabah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI