fbpx

Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selaras senapang dan tiga butir peluru yang dirampas daripada dua suspek kes seorang buruh binaan cedera terkena tembakan peluru sesat di Kampung Besul Lama, Bukit Besi dekat Dungun.

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan seorang buruh binaan cedera terkena tembakan peluru sesat ketika sedang memikat ayam hutan di Kampung Besul Lama, Bukit Besi dekat sini pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua suspek yang berusia 48 dan 50 tahun masing-masing ditahan di sekitar Bukit Besi dekat sini pada pukul 10.30 malam dan 10.50 malam semalam.

“Salah seorang suspek telah menunjukkan lokasi sebenar kejadian tembakan itu selain lokasi senapang digunakan telah disorokkan.

“Polis kemudiannya merampas selaras senapang berkenaan bersama tiga butir peluru yang masih belum digunakan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, berdasarkan soal siasat awal, suspek berusia 50 tahun mengaku tertembak mangsa, Mohd. Suhaimi Damuri, 34, sewaktu memburu di Hutan Simpan Besul tersebut.

Kosmo! Ahad 27 September lalu melaporkan Mohd. Suhaimi sedang memikat ayam hutan cedera pada bahagian pinggang kanan apabila terkena peluru sesat di Kampung Besul Lama.

Dia yang stabil kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mengeluarkan serpihan peluru berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI