fbpx
Laman troll di Facebook digemari ramai kerana isi kandungan yang lebih santai.

Laman troll FB diburu parti politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Selain menjadi seorang YouTuber, Instafamous atau streamer permainan video, pengendali laman troll di media sosial Facebook juga mampu memperoleh pendapatan yang lumayan sehingga puluhan ribu ringgit.

Hasil pendapatan bukan sahaja menerusi Google AdSense di web, malah laman troll yang mempunyai ramai pengaruh menjadi ‘lubuk’ duit dan buruan parti-parti politik yang mahu menyebarkan propaganda atau ideo­logi masing-masing.

Pengendali Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) yang hanya ingin dikenali sebagai Neo berkata, beberapa parti politik sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk menyebarkan propaganda mereka menerusi laman troll miliknya.

Menurutnya, TTKM ditubuhkan pada tahun 2014 untuk menentang Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan parti itu yang menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu menerusi ‘Langkah Kajang’.

“Secara umumnya, kebanyakan troll kami bersifat politik dan mempunyai pengikut yang cakna dengan isu-isu politik semasa, walaupun kadangkala kami selitkan dengan unsur jenaka yang tidak ada kaitan dengan politik,” kata­nya ketika ditemui baru-baru ini.

Neo memberitahu, TTKM pernah menerima tawaran daripada pihak tertentu dari dalam dan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat yang menawarkan harga sehingga AS$5,000 (RM20,000) untuk membeli laman troll tersebut.

“Saya dan rakan-rakan menolak untuk menjual laman ini ke­rana kami mahu menjadi pressure group yang bebas.

“Tidak dinafikan ada tawaran datang daripada parti politik tempatan untuk dijadikan laman cybertrooper, namun tidak sempat mereka menyebut harga, saya terus ‘pancung’,” ujarnya.

Menurutnya, TTKM juga pernah menerima tawaran untuk menjalinkan kerjasama dengan sebuah laman troll dari Singapura untuk berkongsi isi kandu­ngan.

Setakat ini, TTKM mempunyai sebanyak 638,029 pengikut di Facebook dengan 21 juta engagement sebulan.

Laman itu kini menghasilkan pendapatan menerusi Google AdSense di laman web Buletin TTKM yang dikendalikan oleh Neo, selain iklan-iklan menerusi video ‘Mia Jalipah’ yang menjana wang sebanyak AS$100 (RM417) untuk setiap video di Facebook.

Bagaimanapun, Neo enggan mendedahkan jumlah sebenar pendapatan yang berjaya dipe­roleh setakat ini, namun dia bersama rakan-rakannya mampu membayar ansuran bulanan rumah dan kenderaan.

Sementara itu, pengandali laman troll Si Rashid yang ingin dikenali sebagai Sham berkata, laman troll yang ditubuhkan pada 2016 itu berunsur jenaka dan komik yang mengulas isu-isu semasa atau membuat kritikan sosial menggunakan lukisan kartun.

Katanya, laman itu kini mencatatkan 696,967 likes selain 1.2 juta capaian serta 3.9 juta engagement sebulan.

Pengguna internet yang mengikuti laman itu pasti tidak kekok dengan watak Bangshim, Solihin, Cencorot dan Mira.

Ujar Sham, dia memanfaatkan populariti laman itu untuk membuat reviu produk sebagai cara menjana pendapatan.

“Kami boleh menjana pendapatan antara RM5,000 hingga RM20,000 sebulan hasil daripada reviu berbayar produk-produk tertentu.

“Selain itu, kami mengeluarkan baju dan cenderahati secara bermusim dan barangan ini mendapat sambutan yang mengga­lakkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna wang tersebut menjadi sumber pendapatan utama bagi kesemua pengendali laman troll tersebut.

Sham memberitahu, mereka hanyalah pengendali laman itu secara separuh masa dan mempunyai kerjaya profesional lain.

“Wang itu diberikan mengikut siapa yang membuat reviu sesuatu produk. Selain itu, kami menggunakan populariti laman ini bagi membantu asnaf menerusi sebuah badan bukan kerajaan iaitu Komuniti Harmoni Kita yang bernaung di bawah kami.

“Kami juga bercadang untuk mengeluarkan jenama burger Si Rashid,” ujarnya.

Populariti laman itu turut mendorong sebuah parti politik untuk membelinya pada harga RM150,000, namun ditolak oleh Sham dan rakan-rakan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN