fbpx

KKM kuat kuasa arahan tambah iodin dalam garam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguatkuasakan pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin bermula 30 September ini dengan mewajibkan peniaga menambah iodin pada garam sebelum boleh dipasarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pindaan baru itu, semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang perlu ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di seluruh negara.

Beliau berkata, Peraturan 285 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 itu telah diwartakan pada 12 November 2018 dan akan dikuat kuasa di seluruh negara pada 30 September ini.

“Pindaan peraturan ini adalah susulan daripada hasil dapatan Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8 hingga 10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.

“Selain daripada itu, 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goiter. Bagi tinjauan membabitkan wanita hamil dan murid sekolah pula, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, kementerian menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kepatuhan peraturan ini setelah ianya dikuatkuasakan.

Kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan pengilang dan penjual boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI