fbpx

Ubah mentaliti status ibu tiri – Faezah Elai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAEZAH ELAI

KUALA LUMPUR – Pelakon Faezah Elai mengharapkan masyarakat tidak lagi memandang serong terhadap status ibu tiri yang sering digambarkan sebagai kejam dan zalim terhadap anak tiri mereka.

Menurut Faezah, 37, memegang status sebagai ibu tiri bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana status tersebut sering disalah tafsir oleh masyarakat sekiranya anak tiri bawah jagaan ibu tiri terlibat dengan perkara yang salah.

FAEZAH bersama keluarga termasuk anak-anak tirinya.

“Jika berlaku sesuatu, maka ibu tirilah yang akan dipersalahkan.Tetapi jika mereka mencapai sesuatu kejayaan, segala pujian yang baik diberikan kepada ibu kandung meskipun hakikatnya anak-anak tiri itu dididik bawah jagaan ibu tiri.

“Mentaliti jenis apa ini? Ini bukan zaman Cinderella mak tiri membuat aniaya kepada anak tiri. Sekarang sudah tahun 2020. Silap-silap anak tiri yang membuat aniaya pada ibu tiri,” tulisnya menerusi satu perkongsian dalam Instagram.

Bagaimanapun, Faezah menyatakan luahan hatinya itu tidak membabitkan kehidupan peribadi memandangkan dia juga membesarkan tiga orang anak tiri hasil perkongsian suami dengan bekas isteri.

Biarpun menjaga tiga orang anak tiri, isteri kepada pengarah, Heykal Hanafiah itu tidak mengharapkan apa-apa balasan apabila sudah tua nanti kerana takut akan memakan diri sendiri.

“Jadi kepada semua ibu, jika anak kandung dijaga oleh ibu tiri, berikan mereka kebebasan untuk menyayangi ibu tiri seperti ibu kandung dan bukan cucuk anak supaya membenci ibu tiri,” katanya.

Faezah mendirikan rumah tangga bersama Heykal pada September 2011 dan menjaga tiga orang anak tirinya iaitu Luqman Hakim, Sarah dan Luq Adam.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Dealova Heyrinna, 7, dan Aurora Heyrinna, 4. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI