fbpx

Mangsa keempat gas karbon monoksida masih kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharifah Fariesha (duduk, kiri) dan Nor Adilah (duduk, kanan), Ayuni Shazwanie (belakang, kiri) dan Nor Aqilah bergambar kenangan ketika mengunjungi Pulau Jerejak sebelum tiga daripada mereka maut akibat terhidu asap karbon monoksida di Seberang Perai baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Mangsa keempat yang terlibat dalam kejadian terhidu gas karbon monoksida ketika berehat di dalam kenderaan di kawasan tempat meletak kereta di sebuah stesen minyak dekat Permatang Pauh di sini semalam dilaporkan masih kritikal.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, mangsa terakhir, Nor Aqilah Mohd. Safwan, 21, masih dalam pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan perkembangan terkini mangsa daripada pihak hospital dari masa ke semasa.

“Mangsa terakhir masih di ICU dan masih tiada perubahan. Kita akan mendapatkan perkembangan lanjut mengenai keadaan terkininya.

“Memang ada CCTV (sistem kamera litar tertutup) di kawasan stesen minyak itu dan banyak keretak parkir di situ, mungkin pekerja (stesen minyak) tidak perasan kenderaan yang dinaiki mereka berhenti lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Kereta Peronda (MPV) jenis Honda Civic 1.8s di Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu di Batu Uban di sini tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, empat sahabat yang sedang berehat di dalam sebuah kereta jenis Honda Odyssey dengan enjin terpasang mengundang tragedi apabila tiga daripadanya maut akibat terhidu gas karbon monoksida.

Kejadian itu mengakibatkan Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd. Safwan yang masing-masing berusia 21 tahun maut manakala Nor Aqilah dilaporkan kritikal. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI