fbpx
Contoh basikal bernombor plat di Belanda.

Tiada rancangan laksanakan pendaftaran, lesenkan basikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA- Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata tiada rancangan di pihaknya untuk melaksanakan pendaftaran dan pelesenan setiap basikal di negara ini serta diletakkan nombor plat sepertimana kenderaan bermotor.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian, malah cadangan itu juga tidak pernah dibangkitkan kepada beliau.

“Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.

“Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) sebagaimana yang dilaporkan media tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ka Siong, berkata agensi-agensi di bawah MOT perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk Pejabat Menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa MOT.

“Semua pengumuman polisi pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan Menteri,” katanya.

Terdahulu, akhbar tempatan hari ini melaporkan setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor, demi menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah MIROS, Dr. Khairil Anwar Abu Kassim dipetik berkata, pihaknya sedang mengkaji keperluan berkenaan yang bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya sekali gus mengambil langkah awal supaya kadar kemalangan maut dapat dikurangkan. -K!ONLINE