fbpx

Van keselamatan bawa duit RM50,000 langgar tiang lampu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota BBP Kota Tinggi melakukan operasi menyelamat mangsa yang tersepit selepas van keselamatan membawa sejumlah wang terbabas di Jalan Johor Bahru- Mersing menghala ke Bukit Samsu petang tadi. Foto IHSAN BOMBA

Oleh MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI – Sebuah van keselamatan membawa wang berjumlah kira-kira RM50,000 terbabas selepas melanggar tiang lampu dalam kemalangan berlaku di Jalan Johor Bahru- Mersing menghala ke Bukit Samsu petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu menyebabkan pemandunya serta seorang penumpang tersepit manakala seorang lagi penumpang mengalami cedera ringan.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor berkata, seramai 10 anggota dengan dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya.

“Semasa kejadian, van tersebut dalam perjalanan ke Mersing bagi menghantar wang. Dalam van tersebut ada sejumlah wang dianggarkan kira-kira RM50,000,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, terdapat seorang penumpang hadapan yang selamat telah membuka pintu van di bahagian belakang dan terus menghubungi pihak pengurusan dan menjaga wang tersebut sehingga pihak pengurusan sampai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, van tersebut dipercayai telah memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan tepi sebuah lori.

Katanya, ekoran itu menyebabkan van terbabas ke kiri jalan dan terlanggar sebatang tiang sokongan TNB sebelum masuk ke dalam semak.

“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila van yang dipandu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah lori sebelum terbabas.

“Akibat kemalangan itu, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu dan dua penumpang van yang mengalami cedera dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut,”katanya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI