PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di tujuh negeri sehingga pukul 10 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, cuaca buruk itu dijangka melanda beberapa daerah di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Sabah dan Sarawak.
“Di Semenanjung, kawasan terlibat ialah seluruh Perlis serta beberapa daerah di Kedah termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
“Turut menerima amaran sama ialah daerah Larut, Matang dan Selama di Perak serta Gua Musang di Kelantan. Cuaca sama dijangka berlaku di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu,” katanya.
Di Pahang pula, amaran melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Kuantan.
Bagi Sarawak, kawasan yang diramal mengalami ribut petir dan hujan lebat ialah Sibu melibatkan daerah Sibu dan Selangau, Kapit (Song), Miri (Telang Usan dan Marudi) serta Limbang.
Di Sabah, amaran cuaca buruk dikeluarkan bagi kawasan Pantai Barat meliputi Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud selain daerah Kudat. – KOSMO! ONLINE.














