TANYAKAN kepada mana-mana penggiat seni, dalam bidang perfileman mahupun naskhah televisyen, pasti ramai dalam kalangan mereka mengimpikan saat untuk bergelar sebagai pengarah atau penerbit.
Topik sebegitu juga sering kali diajukan kepada para pelakon, tidak kiralah yang baharu mahupun veteran.
Peluang menduduki kerusi tertinggi dalam sesebuah penerbitan tersebut tidak selalu datang, tidak mudah untuk dipancing dengan sebatang kail.
Saban tahun ada sahaja pelakon yang mula bergelar pengarah mahupun penerbit.

Usia dalam industri bukan ukuran, sebaliknya kehendak dan kemampuan yang menentukan setiap keputusan.
Membawa situasi berkenaan untuk dikupas pelakon handalan bernama Nabila Huda, tempoh lebih sedekad dalam industri bukan tiket baginya mengait gelaran pengarah ke dalam portfolio kerjaya.
Menurut pemilik nama Nabila Huda Suhaimi yang lebih mesra disapa sebagai Abil, dia merasakan tugas seorang pengarah filem dan drama merupakan tugas yang sangat berat untuk dipikul.
Pengarah seni
“Saya belum bersedia untuk bergelar sebagai seorang pengarah. Mudah kata, visi saya bukan ke arah itu buat masa ini.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi pengarah atau produser kerana layar seni saya dalam industri ini berbeza dan ke arah lain,” kata ibu kepada Keisha Laila yang kini berusia 11 tahun itu.
Abil menambah, peranan seorang pengarah menuntut komitmen yang sangat berat. Hala tuju atau jatuh bangun sesebuah karya terpikul di bahunya.

“Bagi pendapat saya, kerja mereka sangat besar dalam sesebuah produksi kerana perlu memikirkan banyak perkara.
“Adakalanya, sampai tak boleh tidur malam kerana terlalu banyak benda hendak fikir. Saya tak mahu perkara begitu,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia tetap berbangga kerana ramai dalam kalangan selebriti menunjukkan minat menjadi pengarah.
“Saya gembira kerana ada sesetengah daripada pelakon di Malaysia sudah bergelar pengarah dan produser. Ada yang masih muda dan itu membanggakan.
“Mungkin misi mereka ke arah itu dan mereka berjaya realisasikan impian tersebut,” ujar pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2019 itu.
Berbicara lanjut mengenai impiannya, Abil berkongsi sebuah harapan yang lama tersimpan di dada.
Dia menolak untuk jadi sutradara, namun hatinya jatuh untuk mendakap status pengarah fotografi. Agak janggal, tetapi itulah Abil!
“Saya teringin hendak bergelar pengarah fotografi atau pengarah seni. Itu memang cita-cita saya sejak dahulu,” katanya.
Ujarnya, jarang untuk mendengar anak seni yang ingin menjadi pengarah seni atau fotografi memandangkan tugas sebegitu lazimnya disandang atau didominasi kaum lelaki.
“Macam pengarah fotografi, saya memang suka kerja begitu. Nilai fotografi sangat subjektif. Tambahan pula, saya memang minat bidang ini.
“Selain itu, rasanya saya minat fotografi kerana mempunyai mata yang boleh lihat nilai seni dalam sesuatu benda.
“Daripada nilai seni yang saya nampak itu, saya akan lahirkan apresiasi terhadapnya menerusi fotografi,” ujar penuh semangat.

Sambung belajar
Bagi merealisasikan impian besarnya, Abil bercadang menyambung pelajaran dalam bidang fotografi pada tahun depan.
“Jika tiada aral melintang dan dalam memastikan misi hidup saya tercapai, saya merancang untuk sambung belajar dalam bidang fotografi pada tahun depan.
“Dahulu, semasa sekolah pernah terfikir nak sambung belajar dalam bidang fotografi tetapi disebabkan kekangan kehidupan yang tidak stabil, niat itu tidak dapat diteruskan,” tutur isteri kepada usahawan, Mohd Izwan Johar, 36, itu optimis.
Buat masa ini, Nabila sedang mengenal pasti mana-mana institusi pengajian yang menawarkan kursus sebegitu.
“Itu misi 2021 saya. Niat hati hendak lanjutkan pelajaran ke luar negara tapi disebabkan pandemik Covid-19, terpaksalah lupakan.
“Umur saya sudah cecah 36 pada tahun ini. Sampai bila lagi saya hanya perlu berangan. Kalau satu hari nanti saya bukan lagi seorang pelakon, sekurang-kurangnya saya ada pencapaian lain dalam hidup,” ujarnya.
Ujar anak kepada rockers terkenal, Amy Search itu, dia juga ingin merasai pengalaman baru seperti bekerja di belakang tabir.
“Saya ada perasaan ingin tahu dan mahu berada dalam situasi pekerja belakang tabir seperti angkat lampu dan jaga kamera.
“Bagi saya, tak kisahlah kalau orang kata saya popular atau pelakon terbaik, sekurang-kurangnya saya dapat cuba dan selami pengalaman tersebut,” getusnya.
Jeti & The Masked Singer
Beralih tentang perkembangan kariernya, Nabila baru selesai menjalani pengambaran sebuah drama bertajuk Jeti arahan pelakon dan penyanyi, Janna Nick.
“Bekerja bawah Janna memberi satu pengalaman baharu. Tahniah kepada Janna kerana berjaya bergelar sebagai seorang produser dan pengarah pada usia yang masih muda.
“Secara keseluruhannya, dia masih mempunyai banyak masa untuk belajar dan saya percaya dia akan menjadi seorang pengarah yang bagus suatu hari nanti,” katanya.
Nabila juga bakal muncul sebagai seorang juri dalam program realiti televisyen terbaharu, The Masked Singer yang akan bersiaran pada 18 September depan.
Barisan juri turut dibarisi oleh beberapa nama besar seperti Datuk Aznil Nawawi, Raja Azura, Zizan Razak dan Michael Ang.
“Ini merupakan pertama kali saya berpeluang menjadi juri dalam rancangan televisyen, jadi saya memang rasa bertuah dan dihargai.
“Selalunya orang yang dipilih menjadi juri ialah golongan yang berpengalaman dan ada pencapaian tinggi dalam hidup. Bagi saya merekalah yang layak menjadi juri.
“Jadi saya rasa akhirnya selepas sekian lama, saya terpilih juga menjadi juri, bahkan konsepnya juga sesuai dengan karakter saya yang riuh dan kecoh,” katanya menutup perbualan.














