fbpx
IBU muda ini mempunyai visi untuk membatu melahirkan lebih ramai usahawan kewangan digital terutama dalam kalangan wanita.

Visi Nurshuhada lahir usahawan kewangan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik wajah manis dan ayu yang dianugerahkan Ilahi, tersembunyi sifat tegas dan kepimpinan dalam dirinya.

Justeru, tidak hairanlah ibu muda kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu mampu menggalas tugas besar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam bidang berasaskan teknologi kewangan digital yang jarang-jarang diceburi wanita. 

Bagi pemilik nama lengkap Nurshuhada Zainal, dia memilih kerjaya sebagai usahawan kerana mahukan fleksibiliti masa menguruskan keluarga terutama dua anaknya yang kini menginjak usia 10 dan tujuh tahun.

Meskipun wanita itu berpengalaman lebih 10 tahun makan gaji di syarikat dan konglomerat besar dalam jabatan sumber manusia, kehadiran dua cahaya matanya itu juga membulatkan tekadnya supaya tidak terikat dengan waktu pejabat semata-mata.

Lebih penting baginya ketika itu, bidang yang dipilih haruslah mempunyai banyak masa bersama keluarga dan boleh bekerja secara online dari rumah.

“Saya percaya bahawa bidang perniagaan adalah sembilan daripada 10 punca rezeki dan dapat mencapai cita-cita saya mendapatkan kebebasan kewangan pada usia muda.

“Pada masa sama, saya juga turut memasang impian untuk bersara awal dan tidak perlu menunggu sehingga umur 55 atau 60 tahun. 

“Maka menjadi usahawan dan bekerja keras sementara usia masih muda untuk membina empayar sendiri adalah langkah terbaik sebagai wanita zaman moden masa kini,” katanya kepada Aura ketika membuka bicara baru-baru ini. 

Mengetuai syarikat bumiputera yang menjadi antara perintis teknologi kewangan, DDK Blockchain, Nurshuhada antara tulang belakang yang menyumbang kepada kejayaan teknologi kewangan digital di negara ini.

Mengulas lanjut, wanita yang memiliki diploma pengajian perniagaan ini kemudian menyambung pengajian dalam Ijazah Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum memulakan kerjaya sebagai pegawai sumber manusia dan penasihat kewangan.

Berbekalkan pengalaman dan latar belakang perniagaan dan kewangan, Nurshuhada memberanikan dan mencabar diri menerajui syarikatnya sendiri dalam bidang teknologi kewangan digital. 

Bagaimanapun, kejayaan yang dimiliki tidak semudah yang dilihat dengan mata kasar kerana pelbagai cabaran terpaksa diharungi dalam bidang yang diceburinya itu lebih-lebih lagi ia merupakan satu perkara baharu baik di dalam dan luar negara.

Katanya, memberi pendidikan kepada masyarakat adalah cabaran utama khususnya bagi mendedahkan kepada orang ramai akan kepentingan teknologi sekali gus menjadi pelengkap kepada kehidupan seharian yang membabitkan penggunaan kewangan.

“Selain itu, sebagai penggerak utama dalam industri baharu ini juga bukan mudah kerana untuk memahami sesuatu, saya juga perlu sentiasa tingkatkan ilmu berkenaan teknologi ini dan ekosistemnya secara holistik.

“Sebab itu saya sentiasa membaca buku, artikel dan bahan bacaan untuk memastikan ilmu yang saya ada sesuai dan boleh diaplikasikan di dalam syarikat untuk sentiasa maju,” ujarnya. 

Tambahnya bukan setakat itu sahaja, tiada pemaju berpengalaman di Malaysia juga merupakan antara cabaran terbesar buat Nurshuhada dan pasukannya selain terpaksa menggunakan khidmat kepakaran dari negara Eropah. 

Jelasnya, pada peringkat awal menceburi bidang tersebut, ramai yang memperkecilkan kebolehannya dalam menjadi tunggak syarikat yang kini telah melebarkan sayap perniagaan kepada lebih 10 negara. 

“Mereka merasakan wanita seperti saya tidak layak ke depan sebagai usahawan bumiputera berjaya.

“Tetapi, saya buktikan kemampuan dengan memberikan 100 peratus komitmen kepada projek yang saya kendalikan,” tuturnya yang bersyukur dan amat berterima kasih kerana mempunyai keluarga dan suami yang memahami kerjayanya.

 

NURSHUDA bersama kakitangan dan rakan sekerjanya.

Ditebak mengenai kejayaannya melahirkan ramai usahawan baharu dalam kalangan bumiputera khususnya golongan wanita, Nurshuhada memberitahu perkara tersebut merupakan salah satu visi serta matlamatnya sebelum menceburkan diri dalam keusahawanan. 

“Alhamdulillah. Berkat kesabaran dan sedikit ilmu yang ada, saya berjaya melahirkan lebih 30,000 usahawan baharu yang mengguna pakai teknologi kewangan digital yang kami reka lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita,” katanya.

Menyentuh perihal hubungan dengan kakitangan, Nurshuhada mengakui sentiasa mengamalkan komunikasi secara terbuka dan lebih menggemari cara berterus terang serta telus dalam setiap urusan kerja harian.

“Saya memberi ruang kepada semua pekerja untuk memberi idea, cadangan dan ruang membangun untuk kebaikan mereka dan tidak menyekat potensi mana-mana pekerja.

“Jika ada yang boleh digilap, saya akan beri panduan dan latihan untuk memastikan saya menjadi mentor yang baik kepada mereka,” ujarnya yang menyatakan syarikat bakal berkolaborasi dengan rakan niaga dari Eropah untuk melancarkan DDK Blockchain Core 2.1 kelak. – K! ONLINE

 

BERITA BERKAITAN