fbpx

Penduduk dakwa aktiviti pembalakan jejas sumber air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAPA SULIT (kiri) dan Mohd. Noor Abu Samah menunjukkan hakisan tanah yang dipercayai akibat aktiviti pembalakan yang berjalan sejak awal tahun ini di Kampung Ghalip, Sungai Jelutong, Kuala Pilah.

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

KUALA PILAH – Penduduk Kampung Ghalip Sungai Jelutong dekat sini berhadapan masalah selepas sumber air daripada takungan air bukit yang digunakan mereka seharian keruh dan kotor didakwa berpunca daripada aktiviti pembalakan berhampiran.

Seorang penduduk, Abdul Jalil Jamin, 65, berkata, keadaan tersebut berlaku setiap kali musim hujan dia dan penduduk menghadapi masalah apabila air lumpur daripada takungan air bukit memasuki ke dalam saluran paip rumah.

“Setiap kali musim hujan, kami risau dan susah hati kerana air paip untuk kegunaan rumah akan berubah berwarna merah disebabkan air bukit yang digunakan berhampiran kawasan pembalakan.

“Sebelum ini, ada juga aktiviti pembalakan tetapi tidak terjejas, namun tidak sejak awal tahun ini. Setiap kali hujan, air tanah masuk ke kawasan takungan air sehingga menyebabkan penduduk menerima air yang keruh dan kotor,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Tapa Sulit, 81, pula menjelaskan, air keruh seperti lumpur memasuki saluran paip rumahnya kerana takungan yang menadah air tersebut berada berhampiran dengan kawasan pembalakan.

“Aktiviti pembalakan di atas bukit berkenaan menyebabkan saluran air paip melalui kawasan takungan air bukit tersebut menjadi keruh. Kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera.

“Kawasan takungan air bukit yang terjejas itu masuk ke saluran paip rumah penduduk sehingga kami tidak boleh menggunakan air itu untuk mandi, berwuduk, serta memasak,” katanya.

Seorang lagi penduduk terjejas, Mohd. Noor Abu Samah, 60, berkata, dia yang mempunyai tujuh kolam ikan turut terjejas apabila ikan talapia yang diternak turut mati.

“Sebanyak tujuh kolam ikan terjejas akibat aktiviti pembalakan, pada awal tahun saya ada membela ikan talapia untuk meniaga, Namun ini kejadian kali pertama berlaku sehingga banyak ikan mati disebabkan air keruh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, pihaknya bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mendapati terdapat lima buah rumah yang menggunakan air bukit tersebut sebagai sumber bekalan air.

“Hanya lima buah rumah sahaja yang menggunakan air bukit sepenuhnya dan mereka tidak pernah memohon kepada SAINS untuk pemasangan paip air dan meter.

“Sebanyak 10 buah rumah di kawasan berhampiran telah pun mempunyai meter SAINS tetapi mempunyai masalah tekanan air rendah dan turut dialami oleh beberapa kawasan kampung rangkaian MPKK Sungai Jelutong dan pihak SAINS sedang dalam tindakan lanjut” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, aktiviti pembalakan seperti yang didakwa oleh penduduk adalah dijalankan di dalam kawasan Rizab Hutan Simpan Serting.

“Difahamkan kontraktor ada permit pembalakan yang sah. Kawasan kolam tadahan air bukit yang digunakan oleh penduduk adalah di dalam Kawasan Rizab Hutan Simpan,” katanya.

Sementara itu, menurut Mohd. Faizal, difahamkan, pihak SAINS juga telah memaklumkan kepada MPKK kawasan supaya mengumpulkan senarai nama penduduk yang lengkap bagi memohon kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi penyediaan rumah pam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI