DIA pernah cuba melakukan perubahan dengan mengenakan hijab sepanjang Ramadan lalu, ironi ketika itu hati Mawar Rashid masih berbolak-balik.
Dia dilambung emosi risau bahkan tiada keyakinan meneruskan hasrat bertudung.
Sehinggalah suatu hari nuraninya tersentuh dengan kata-kata seorang guru agama yang bercerita tentang keredaaan Allah serta kaitan dengan kebahagiaan sendiri.
Detik tersebut menjadi titik tolak kepada perubahan besar yang berlaku dalam hidup Mawar apabila mengumumkan sudah berhijab pada tanggal 21 Ogos lalu.

“Apabila guru agama bercakap tentang keredaan dan bahagia dalam hidup kita, waktu itu terdetik dalam hati saya satu soalan yang cukup berbekas.
“Dengan segala nikmat dan bahagia yang dikurniakan selama ini, apakah sebenarnya Tuhan reda dengan hidup saya? Sudah banyak nikmat yang diberikan, tetapi saya banyak memberi alasan dan mengelak daripada menurut perintah-Nya.
“Dalam hati, ada kesedaran bahawa diri ini seorang hamba yang hina. Keputusan untuk mengenakan hijab datang dengan sendirinya ketika itu sebab saya tidak mahu malu di hadapan Allah,” ujarnya ketika ditemui pada majlis Kempen Merdeka Maternity di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Setiap hari, waktu solat menjadi medan air matanya tumpah tatkala mengenang betapa kufurnya dia terhadap nikmat dan kebaikan Tuhan. Kerisauannnya selama terpadam, di jiwa Mawar tumbuh rasa insaf.
Dalam kalangan artis wanita tempatan, tudung seringkali dikaitkan dengan peluang lakonan. Bahkan pilihan watak untuk wanita bertudung dikatakan terhad.
Persoalan sama diusulkan buat Mawar, sementelah selama pelakon drama TQ Captain itu mengakui kerap menangguhkan hasrat berkenaan.

Arah tujuan
Bukan soal tawaran, sebaliknya kata Mawar, hatinya sentiasa berbolak-balik kerana gagal melawan nafsu sendiri apabila melihat ramai wanita lain bebas menonjolkan kecantikan berfesyen tanpa batasan.
“Kita hidup dalam zaman moden yang penuh mencabar. Di kiri kanan ada ramai yang tampil cantik berfesyen, disebabkan itulah hati saya berbolak-balik sebab mahu ikut sama seperti orang lain.
“Cuma saya akui, sebelum ini saya selalu berasa tidak selesa jika keluar rumah tanpa bertudung. Dalam hati, semacam perasaan kurang senang dan bersalah sebab tidak tutup aurat. Pendek kata,
hati saya tidak tenang. Sebab itulah saya mahu cari ketenangan dan dekat dengan Tuhan. Jadi hijab ialah jawapannya,” jelas Mawar.
Dibesarkan dalam kehidupan yang bukan seperti sekarang, Mawar menyedari perjalanannya kelak pasti akan berdepan pelbagai rintangan.
Namun, jauh di sudut hati, dia mengharapkan doa daripada semua agar dapat kekal istiqamah di jalan Allah sehingga ke hujung nyawa.
“Ada guru agama cakap, salah satu musuh utama wanita ialah aurat. Jadi apabila berhijab, alhamdulillah saya sudah berjaya lawan musuh itu.
“Sebenarnya perjuangan ini bukan untuk saya seorang. Ini adalah jihad saya untuk masa depan anak-anak dan keluarga. Jika saya masih dengan kehidupan lama, bagaimana saya mahu jadi contoh terbaik kepada mereka,” ujarnya yang sanggup berulang-alik ke Kelantan setiap bulan untuk menghadiri kelas agama selama dua hari sebulan di sana.
Bermula dengan menutup aurat, pelakon berusia 25 tahun itu meletakkan sasaran bukan sahaja untuk duniawi tetapi yang paling penting ialah mengejar syurga di akhirat bersama suami dan anak-anak.

Sasarannya, dia mahu menyalurkan setiap ilmu yang ditimba kepada anak-anak dan keturunannya kelak.
“Sekarang waktu saya lebih banyak dihabiskan untuk mempelajari ilmu agama berbanding urusan kerja lakonan dan bisnes.
“Satu hal yang saya impikan ialah sebuah keluarga yang bahagia dengan agama. Saya mendambakan suami sendiri Raf Yaakob untuk menyampaikan tazkirah kepada anak-anak setiap hari usai solat,” kata Mawar penuh makna.
Kandungan kedua
Sedang hamil anak kedua, pelakon kelahiran Kelantan itu meluahkan perasaan bersyukur kerana kehamilan kali ini tidak banyak ragam berbanding anak pertama.
Biarpun begitu, tempoh tiga bulan pertama kehamilan kali ini menjadi fasa paling sukar untuk dilalui kerana dia mengalami mual yang teruk selain alahan dan mudah berasa penat.
“Kehamilan kali ini sangat berbeza berbanding sewaktu mengandungkan Raden Muhammad Rafael sebab mudah sangat berasa letih selain kerap mual.
“Lebih mencabar apabila ketika saya berdepan dengan masalah tiada selera makan menyebabkan kurang pertambahan berat badan,” kongsinya yang hanya mengetahui status kehamilannya selepas usia kandungan mencecah lebih dua bulan.

Namun, berbekalkan pengalaman melahirkan anak sulungnya yang kini berusia setahun enam bulan Mawar lebih bersedia tentang proses pasca bersalin kelak.
“Saya akan guna khidmat penjagaan pantang selepas melahirkan kelak. Ketika melahirkan Raden, ibu yang tolong menjaga saya ketika berpantang.
“Saya dah ada pengalaman bersalin, jadi sudah boleh uruskan diri sendiri,” ujarnya yang mahu merahsiakan jantina bayi keduanya buat masa ini.














