fbpx

Adam tidak terfikir mahu kembali ke saingan Moto3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM mengidam untuk beraksi pada saingan MotoGP, namun menolak untuk bersaing dalam kelas Moto3 kerana sasarannya mahu berlumba bagi kelas Moto2 pada masa depan.

PELUMBA muda negara, Adam Norrodin tidak terfikir untuk kembali ke kancah Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 meskipun diberi peluang untuk kembali ke saingan tersebut.

Pelumba berusia 23 tahun itu mengakui sukar baginya untuk mengubah kembali gaya tunggangan dalam kelas Moto3 ke­rana perlu bermula semula dari peringkat bawah.

Adam ketika ini beraksi dalam saingan Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) bersama Liqui Moly Intact SIC Junior Team dan dijangka diberi peluang untuk kembali ke MotoGP dalam kelas Moto2 bersama pasukan Petronas jika dia benar-benar bersedia untuk ke pentas berprestij itu.

“Siapa yang tidak mahu ber­aksi pada MotoGP tetapi kalau boleh, bukan kembali ke saingan Moto3. Saya sudah beraksi dalam perlumbaan Moto2 pada CEV dan sudah menemui rentak de­ngan jentera kelas ini.

“Saya akui sukar jika kembali ke kelas Moto3 kerana saya perlu bermula dari bawah. Bagi saya ia satu kerugian jika kembali ke saingan Moto3 semula,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Adam sebelum ini menyertai kelas Moto3 pada saingan MotoGP dari tahun 2016 hingga 2018 sebelum menyertai saingan CEV pada musim lalu.

Adam pernah diberi peluang menyertai saingan Moto2 pada saingan MotoGP bersama pasukan Petronas Sprinta Racing Moto2 bagi menggantikan tempat Khairul Idham Pawi yang belum pulih daripada kecederaan tangan akibat kemalangan.

“Impian saya adalah beraksi dalam kelas Moto2 tetapi buat masa ini fokus saya memburu podium pertama pada CEV. Saya akui saingan CEV bukan mudah kerana ramai bekas-bekas pelumba MotoGP berada di sini.

“Saya akui sangat mencabar tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk tampil dengan perlumbaan lebih baik. Matlamat saya tetap sama iaitu mahu menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik keseluruhan,” kata Adam.

Pelumba kelahiran Johor itu kini menduduki tangga kelapan keseluruhan selepas mengumpul 42 mata daripada enam perlumbaan setakat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI