KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Sungai Besi menghala ke pusat bandar berhampiran Sungai Kerayung di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 2 pagi sewaktu mangsa, Shahrul Azwan Abdul Sain sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas.
“Ketika sedang melalui kawasan kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang besi di bahu kiri jalan.
“Susulan kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang tiba tidak lama kemudian. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan luka dalam di bahagian leher mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ni.
Menurut Zulkefly, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat dan siasatan kes diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE














