TANGGAL 5 September 2020, dunia seni tanah air menerima kejutan apabila seniman legenda, Datuk Zulkifli Zain, 74, meninggal dunia di kediamannya yang terletak di Ukay Perdana, Ampang.
Hampir empat tahun bertarung dengan komplikasi pelbagai penyakit terutamanya kegagalan fungsi kedua-dua buah pinggang, pelakon yang terkenal dengan filem Sesejuk Air Mata Ibu berpulang jua ke negeri abadi meninggalkan seorang balu, Datin Normala Omar, 63, bersama lima orang anak iaitu Dr. Norzizi, 44; Norzaza, 38, Norzazila, 36; Norzazleen, 33, dan Mohd. Noor Zabaiq, 29.
Penulis pernah hadir ke rumah anak sulung arwah, Norzizi pada tahun 2016, waktu kali pertama anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu diserang angin ahmar sehingga mengakibatkan kaki dan tangan kirinya lumpuh.

Meskipun berada dalam keadaan kurang sihat, wajah Zulkifli tidak lekang senyuman dan ramah melayan soalan para media yang datang membuat liputan.
Bahkan, dalam keadaan berkerusi roda, beliau masih meluahkan hasrat mahu kembali ke layar lakonan andai ada yang sudi menghulurkan tawaran.
“Saya tidak biasa duduk tanpa berbuat apa-apa. Sejak muda, saya sudah aktif dalam industri seni dan bukan mudah untuk saya lepaskannya begitu sahaja.
“Cuma apabila sudah diserang pelbagai penyakit, pergerakan saya terbatas dan banyak mengharapkan pertolongan anak, menantu dan cucu,” katanya pada waktu tersebut.
Empat tahun berlalu, ternyata keadaan kesihatan Zulkifli semakin merosot sehingga pada Mac tahun ini, beliau dikejarkan ke Hospital Universti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Selangor akibat pendarahan dalam otak dan kegagalan fungsi buah pinggang.
Akhirnya, pada lewat senja Sabtu lalu, Zulkifli dijemput bertemu Penciptanya di sisi keluarga tercinta. Norzizi yang merupakan anak sulung arwah menyifatkan bapanya pergi dengan tenang dan hampir tidak disedari.
“Arwah papa cuma memejamkan mata dan selepas itu tidak lagi memberikan sebarang respons apabila saya dan mama memanggil namanya.
“Kami reda dengan pemergian arwah. Beliau sudah lama menanggung kesakitan dan hanya terlantar di katil sejak diserang angin ahmar empat tahun lalu,” kata Norzizi kepada media yang hadir memberi penghormatan terakhir buat jenazah Zulkifli.

Cinta sejati
Balu arwah, Normala yang juga pelakon serta penyanyi veteran menyifatkan Zulkifli sebagai suami sempurna sepanjang 45 tahun melayari bahtera rumah tangga.
Mengimbas kembali kenangan cinta, perkahwinan mereka mendapat tentangan hebat daripada keluarga Normala memandangkan pada waktu tersebut, Zulkifli hanya bekerja sebagai penari kebudayaan di Kompleks Budaya Negara.

Sebaik bernikah, Zulkifli dan Normala berhijrah ke Padang Panjang, Sumatera Barat untuk melanjutkan pelajaran sebelum pulang ke Malaysia dan bergiat aktif dalam dunia seni.
Tambah Normala, mungkin itu juga antara sebab mengapa arwah sering menyuarakan hasrat mahu melawat Padang Panjang sejak kebelakangan ini.
“Banyak dugaan yang saya dan arwah tempuh sejak awal perkahwinan sehingga ke akhir hayatnya.

Beliaulah teman sejiwa dan teman suka duka saya selama ini.
“Selepas ini, tiada lagi senda gurau bersamanya sebelum kami melelapkan mata. Namun, saya harus kuatkan semangat, itu sahaja pilihan yang saya ada,” ujarnya sambil menitiskan air mata.
Sementara itu, rakan baik Zulkifli, penyanyi Hail Amir ketika ditemui berkata, beliau masih seakan-akan tidak percaya bahawa kawan baiknya sudah tiada.
Baru sahaja melawat arwah minggu lalu, Hail bagaimanapun yakin bahawa Zulkifli kini berada di tempat yang jauh lebih baik berbanding dunia fana ini.
“Saya dan arwah sangat rapat kerana kami masuk industri ini bersama-sama dan tidak pernah terputus hubungan sehinggalah dia meninggal dunia.
“Saya sering berdoa akan ada keajaiban berlaku dan Zulkifli kembali sihat seperti biasa, namun Allah lebih menyayanginya,” luah Hail perlahan.

Dalam pada itu, pelakon Eman Manan yang turut hadir ke tanah perkuburan berkongsi pengalaman berlakon di samping Zulkifli menerusi filem pertama lakonannya iaitu Matinya Seorang Patriot arahan Datuk Rahim Razali pada tahun 1984.
Hasil tunjuk ajar arwah yang pada ketika itu memegang watak abang kepada Eman, aktor berkenaan berjaya menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) kelima.
“Arwah seorang pelakon senior yang tidak lokek ilmu dan sering memberi tunjuk ajar kepada saya yang baru pertama kali berlakon filem pada ketika itu.
“Beliau seorang pelakon yang hebat dan benar-benar berjiwa seni. Pemergiannya satu kehilangan buat industri kita,” kata Eman.

Sepanjang hayatnya, Zulkifli tidak pernah menagih simpati sesiapa biarpun berada dalam keadaan uzur dan menghidapi pelbagai jenis penyakit kronik.
Apa yang diharapkan arwah hanyalah pertanyaan khabar dan kunjungan daripada rakan-rakan seangkatan untuk menghilangkan rindu terhadap dunia seni.
Empat tahun menanggung derita, berehatlah duhai seniman negara. Sudah tiba masanya kamu bebas daripada lelah dan masalah dunia.
Semoga setiap amalanmu, sedekahmu dan kebaikanmu menjadi asbab Allah SWT membuka pintu syurga seluas-luasnya untukmu. Al-Fatihah.















