RESTU ibu dan kesungguhan jejaka budiman telah berjaya meruntuhkan tembok yang mengelilingi hati si manis jelita, Mira Filzah sehingga akhirnya mereka bergelar suami isteri, Khamis lalu.
Kasih ibu membawa ke syurga. Barangkali, inilah ungakapan paling molek digambarkan tentang jodoh dan pertemuan antara dua jiwa iaitu Mira Filzah dan suami, Wan Emir Astar Wan Khair-il Anuar.

Sebagai anak paling rapat, Mira sangat mendahulukan ibunya, Faizatul Akmar Datuk Hisan dalam apa sahaja keputusan hidup. Baginya, apabila ibu bersetuju barulah hatinya tenang.
Atas alasan tersebut, Mira berlapang dada dengan saranan ibunya agar membuka pintu hati buat Wan Emir. Dia yakin, pilihan ibu pasti yang terbaik buat dirinya.
Hasilnya, Mira dapat merasakan keserasian bersama Wan Emir saat pertama kali bertemu empat mata. Hatinya tenang dan dapat membayangkan masa depan bersama lelaki yang bertugas sebagai seorang arkitek itu.
Sejak pertemuan pertama seterusnya berlarutan hingga ke jenjang pelamin, semua urusan bakal mempelai itu dipermudahkan meskipun mengambil masa kurang daripada enam bulan.
Tiada sebarang kontroversi, khabar angin atau gosip buruk yang menyentuh ikatan cinta mereka kecuali doa-doa baik daripada semua pihak agar Mira dan Wan Emir berkekalan jodohnya.
Akhirnya, tanggal 3 September 2020 menjadi tarikh keramat apabila bintang pujaan ramai itu selamat disunting menjadi suri hati kepada Wan Emir dengan sekali lafaz.
Berlangsung sederhana dalam majlis yang dihadiri hanya 250 tetamu, Mira diwalikan oleh bapanya sendiri, Ir Badioezaman Ab Khalik dengan mas kahwin seutas gelang tangan emas.
Anggun berseri menyarung busana warna putih rekaan Rizman Ruzaini, wanita berusia 27 tahun itu tampak tenang sepanjang majlis berlangsung dengan sesekali mata melirik ke arah si jantung hati.

Menyingkap semula detik percintaan mereka, sebenarnya ramai yang tidak dapat menghidu hubungan cinta yang terjalin antara dua sejoli yang sudah bermula sejak Oktober 2019.
Gosip hanya mula bertebaran apabila Mira memberanikan diri membawa Wan Emir atau Emir sebagai teman ke majlis pernikahan rakan selebriti, Farah Nabilah pada Januari lalu.
Sejak dari situ, banyak spekulasi timbul namun pemilik nama Nuramirah Filzah Badioezaman itu lebih banyak mendiamkan diri tanpa mengia atau menafikan khabar tersebut.
Berita pertunangan hanya disahkan oleh empunya badan pada awal Julai lalu tetapi Mira masih lagi berahsia tentang identiti bakal suaminya.
Namun pada majlis pernikahan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara, semua persoalan tersebut terjawab.
“Saya sebenarnya serik bercinta. Saya sudah melalui beberapa fasa hubungan tidak kesampaian jadi hati ini sedikit tawar.
“Namun keyakinan dan restu mak (penggilan untuk ibu) kepada suami berjaya meyakinkan saya bahawa inilah jodoh terbaik yang Allah sudah tetapkan,” katanya usai majlis pernikahan.

Sabar
Benarlah jodoh itu rahsia Allah, sejauh mana ditolak, dia tidak menjauh. Jika sebelum ini hanya Mira sahaja yang berbicara soal hubungan cinta bersama media, kali ini tiba pula giliran Wan Emir.
Sinar kebahagiaan terpancar di wajah jejaka berusia 30 tahun itu saat ditanya tentang isteri tercinta. Sesekali tangannya menggenggam erat jari jemari Mira sebelum menjawab soalan media.
“Saya mula menaruh perasaan kepada Mira sejak tahun 2016 dan sudah beberapa kali menghantar mesej dalam laman Instagramnya namun tidak dilayan.
“Mungkin di mata Mira, saya hanya peminat biasa. Saya melihat dia sebagai jodoh saya. Hati saya sangat kuat mengatakan dia ialah bakal isteri saya walaupun kami tidak saling mengenali,” katanya memulakan bicara.
Tambah anak sulung kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Yazid ini, hanya pada bulan Ramadan tahun lepas dia nekad untuk berusaha lebih keras menarik perhatian Mira.

Dia cuba mengirim mesej kepada ibu mertuanya dan menyatakan hasrat berkenalan dengan anak kedua daripada tiga beradik itu.
“Mungkin sudah tertulis jodoh kami untuk berkeluarga, rupa-rupanya ibu mertua merupakan kenalan kepada arwah papa, Datuk Khair-il Anuar. Jadi dia yang memujuk isteri untuk memberi peluang kepada saya,” jelas Wan Emir panjang lebar.
Mira turut mengakui kagum dengan usaha yang dilakukan Wan Emir untuk menambat perhatiannya. Dia tidak menyangka ketaatan kepada ibu menjadi pengikat hubungannya dengan bekas graduan sebuah universiti di United Kingdom itu.
“Saya hanya keluar dengan suami sebanyak empat kali sebelum dia memberitahu ibu mahu mengahwini saya.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan kami berdua sebenarnya bercinta selepas nikah kerana tidak berkenalan dalam tempoh masa yang panjang,” jelas Mira.
Keizinan
Meskipun sudah bergelar isteri, pemegang trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 32 itu akan tetap meneruskan kerjayanya sebagai pelakon dan pengacara.
Menurut Mira, suami menghormati kerjayanya dan tidak pernah meletakkan sebarang syarat selepas mereka berumah tangga.
“Dia mengenali saya setelah saya bergelar selebriti jadi dia sudah tahu selok belok dunia seni,” tambah Mira.
Kenyataan Mira disambut Wan Emir yang turut memberitahu bahawa antara faktor dia jatuh hati kepada Mira kerana kemampuan wanita itu menjaga diri sepanjang bergelar anak seni.

Yakin isteri seorang yang profesional dan tahu menjaga batas dalam lakonan, Wan Emir tiada sebarang masalah memberi keizinan kepada Mira untuk terus bergiat aktif dalam industri hiburan.
“Saya beri sepenuh kepercayaan kepada Mira dalam menguruskan kerjayanya dan dalam masa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang solehah.
“Insya-Allah, saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan dugaan berkahwin dengan seorang artis popular,” terangnya penuh yakin.
Buat Mira dan suami, selamat berbahagia sampai bila-bila. Semoga mereka dikurniakan kesabaran setinggi langit dan sedalam lautan kerana itulah kunci utama dalam sesebuah perkahwinan.
















