fbpx
MIRA FILZAH kini sah menjadi isteri Wan Emir.

[VIDEO] Mira Filzah sah bergelar isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR- Pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah selamat bergelar isteri kepada arkitek, Wan Emir Astar Wan Khair-il Anuar dengan sekali lafaz tepat pukul 9 malam sebentar tadi.

Mira atau nama sebenarnya Nuramirah Filzah Badioezaman, 27, dinikahkan oleh ayahnya sendiri, Badioezaman Ab Khalik sambil disaksikan oleh Pendaftar Perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah.

Mira menerima seutas gelang tangan emas sebagai mas kahwin daripada Wan Emir manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.

Selain itu, pengantin perempuan turut menerima 11 dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki dan dibalas dengan sembilan dulang hantaran.

Majlis berjalan sederhana bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara dengan kehadiran tetamu hanya 250 orang sahaja berikutan mematuhi syarat piawaian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan kerajaan.

Pelakon Sweet Dreams sewaktu ditemui usai majlis pernikahan meluahkan rasa syukur dan lega kerana semua berjalan lancar pada hari bahagianya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur majlis ini berjalan baik dan lancar mengikut apa yang dirancangkan.

“Doakan yang terbaik untuk kami berdua dalam melayari dunia rumah tangga,” katanya yang kelihatan anggun menyarung busana baju kurung pahang berwarna putih rekaan Rizman Ruzaini.

MIRA mengenakan persalinan rekaan Rizman Ruzaini.

 

Pasangan ini berkenalan pada Oktober tahun lalu sebelum bertunang dalam majlis serba ringkas dan tertutup sekitar Disember tahun sama.

Khabar angin tentang cinta mereka mula bertebaran apabila Wan Emir menemani Mira ke majlis perkahwinan pelakon, Farah Nabilah pada Januari tahun ini.

Mira hanya mengesahkan ikatan pertunangan mereka kepada umum ketika ditemui media pada satu majlis pelancaran pada bulan Julai lalu.

Wan Emir juga merupakan anak sulung kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Yazid. K! ONLINE