fbpx

Bekas Senoi Praaq terlantar akibat strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cucu Hussin, Siti Sofianis Mohd. Yusoff (kiri) memberi air minuman kepadanya yang kini terlantar akibat strok.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang bekas anggota Senoi Praaq yang pernah bertugas sewaktu zaman darurat kini terlantar sakit sejak dua tahun lalu selepas diserang penyakit strok.

Hussin Sani, 81, yang tinggal di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini bertugas sebagai pasukan risikan ketika zaman komunis pernah menerima anugerah daripada Istana Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana jasanya mempertahankan tanah air.

Walaupun Hussin berada dalam keadaan separuh sedar akibat serangan strok, 23 anak, 100 cucu, cicit dan piut tetap bangga menjadi pewaris seorang pejuang kemerdekaan negara.

Anak perempuannya, Satini, 47, berkata, dia sering mendengar kisah bapanya yang bergadai nyawa menentang pihak komunis dan tentera British.

Katanya, meskipun berdepan dengan musuh yang ramai ketika menjalankan tugas tetapi bapanya tidak pernah gentar apabila berjalan kaki seorang diri dari Kuala Betis ke Perak untuk mengawasi kawasan yang didiami Orang Asli.

“Kami sunyi sejak ayah sakit apabila tidak lagi mendengar cerita mengenai kejadian ketika dia bertugas zaman dahulu.
“Kami tetap bangga keberanian ayah dalam menentang musuh negara walaupun ada kalanya bertahun-tahun tidak balik ke rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Satini, bapanya juga pernah tujuh kali berkahwin termasuk empat daripada isterinya adalah wanita Orang Asli.

Katanya, bagaimanapun, dia sudah bercerai dengan semua isteri malah ada yang sudah meninggal dunia.

Seorang lagi anak lelakinya, Hassan, 40, pula berkata, kebanyakan anggota Senoi Praaq yang bertugas bersama bapanya dahulu termasuk Orang Asli sudah ramai meninggal dunia.

Katanya, ayahnya seorang yang tegas dan amanah dalam menjalankan tugas sebagai anggota Senoi Praaq.

“Ayah juga berjasa apabila menjadi orang pertama yang membuka RPS Kuala Betis ini sebelum mengumpulkan penduduk termasuk Orang Asli di sini.

“Kami berharap agar semua pihak mendoakan kesihatan yang terbaik untuk ayah,” katanya.

Tambah Hassan, bapanya kini bergantung sepenuhnya kepada susu yang diberi minum melalui tiub khas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI