fbpx

Malaysia kurang filem patriotisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. RASDAN AHMAD, WARTAWAN EKSEKUTIF

“LAUTAN luas banjaran gunung rezeki nan melimpah, bawah langitnya kami bernaung, rasa kasih tercurah, tanah airku bumi bertuah, tiada bandingannya, rela bersatu ganding tenaga, mendaulatkan negara.

“Tinggalkan ibu tinggalkan ayah serta sanak saudara, membuktikan kesetiaan kita, pada bumi Malaysia.”

Bait lagu tema dari filem Darah Satria yang diarahkan oleh Allahyarham Aziz Sattar yang dinyanyikan oleh Samad Haron ciptaan Habsah Hassan itu sehingga kini menjadi siulan kepada para perajurit tanah air kita.

Filem yang diterbitkan pada tahun 1983 itu sekiranya dihitung telah menjengah usia 37 tahun. Namun, sehingga kini, masih tiada filem seumpamanya yang dihasilkan oleh pengarah serta pembikin filem sekarang.

Sebelumnya, filem Prebet Lapok yang turut diarahkan oleh Allahyarham Aziz Sattar pada tahun 1979 juga menggunakan tema sama iaitu patriotik juga mendapat sambutan yang.

Bukan langsung tiada filem-filem bergenre seperti ini dihasilkan, filem Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman merupakan salah satu filem patriotik ketenteraan yang berjaya menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Namun, jika diamati, filem-filem berunsur sebegini begitu jarang dilihat dan dihasilkan ketika ini sehingga timbul persoalan adakah industri filem di Malaysia sudah kering idea atau sudah hilang rasa minat menghasilkan filem-filem sebegini?

Industri filem di Hollywood misalnya, walaupun berada dalam era dunia teknologi digital, namun filem bergenre patriotik masih dihasilkan.

Penulis ketika bertugas sebagai wartawan hiburan sebelum ini pernah menemu bual Allahyarham Aziz Sattar dan bertanyakan kenapa beliau menghasilkan dua filem hebat itu.

Jawapan beliau hanya satu, iaitu atas dasar tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia bagi menaikkan semangat kebangsaan kepada semua penonton.

Jelas beliau lagi, selepas filem-filem tersebut ditayangkan terutamanya Prebet Lapok, peratusan anak muda menyertai ­Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semakin bertambah.

Penting katanya, pemain industri perfileman menghasilkan filem-filem seumpama itu bagi menunjukkan semangat kecintaan kepada negara demi menjaga kedaulatan negara tercinta ini.

Memetik kata pelakon utama filem Prebet Lapok, AR Badul dalam satu rancangan televisyen tempatan baru-baru ini, beliau berkata, filem lakonannya itu berjaya menarik ramai pemuda termasuk arwah anaknya sendiri, Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya menyertai tentera.

AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie menjelaskan, impak filem itu begitu kuat sehinggakan kerajaan ketika itu mahukan drama-drama serta filem-filem yang mempunyai mesej dan semangat patriotik dan cintakan tanah air.

“Filem Prebet Lapok dihasilkan dengan bantuan penuh daripada pihak Kerajaan Malaysia melalui ATM ketika itu.

“Semua pelakon filem Prebet Lapok turut menggunakan semua senjata dan jentera asal dari ATM,” jelasnya.

Justeru katanya, filem Prebet Lapok yang tersenarai dalam Festival Filem Asia di Thailand ketika itu perlu ditayangkan semula bagi memberi ruang kepada generasi muda menghayati semangat patriotik.

“Sebenarnya pihak panggung kita tidak minat dan ambil peduli dengan filem-filem patriotik seumpama ini. Yang meraka mahu adalah filem yang boleh dijual sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI