fbpx
HYUNDAI Kona kini boleh mula ditempah oleh orang ramai.

Ketibaan Hyundai Kona yang dinantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, khabar angin bahawa Hyundai Kona akan dibawa masuk ke pasaran tempatan menjadi buah mulut dalam kalangan peminat jentera tersebut.

Manakan tidak, sejak penampilan pertamanya di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS), kenderaan ini menjadi topik perbincangan antara peminat jenama Hyundai.

Setelah berspekulasi sejak sekian lama, keterujaan mereka memuncak baru-baru ini apabila gambar jentera itu yang sedang dipandu uji di sekitar Oasis Ara Damansara, Petaling Jaya tular di laman Facebook seorang individu.

Bagi anda yang tidak tahu, Ara Damansara ialah lokasi terletaknya ibu pejabat Hyundai Sime Darby Motors (HSDM).

Ia sekali gus memberi bayangan bahawa jentera segmen B tersebut bakal dilancarkan bagi pasaran tempatan dalam masa terdekat.

Namun, persoalannya mampukah Hyundai Kona bersaing dengan jentera pesaing seperti Toyota C-HR, Mazda CX-3, Mitsubishi ASX dan Honda BR-V?

Apakah yang istimewanya dengan SUV kompak tersebut sehingga membuatkan Hyundai mengambil keputusan untuk melancarkannya di negara ini.

Untuk memahami jentera kompak ini, kita perlu lihat sejarahnya terlebih dahulu.

JENTERA ini tidak menampilkan rekaan yang terlalu canggih, namun tetap kelihatan garang.

Hyundai Kona mula memasuki fasa pembuatan pada tahun 2017 dan dilancarkan secara rasminya di Korea Selatan tahun berikutnya sebelum dijual secara berperingkat bagi pasaran global.

Nama Kona itu diambil daripada sebuah daerah di Hawaii, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Hyundai Kona dikenali dengan nama lain di beberapa buah negara, antaranya Kauia di Portugis dan Encino (China).

Model awal jentera tersebut menggunakan enjin 1.0 liter T-GDI yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Kuasa dihasilkan enjin tersebut ialah 120 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 172 Nm pada 1,500 hingga 4,000 rpm. Selain enjin 1.0 liter, Kona turut didatangkan dengan enjin 1.6 liter Gamma T-GDI bersama dengan transmisi automatik tujuh kelajuan klac berkembar.

Menerusi enjin itu, SUV kompak berkenaan berupaya menghambur kuasa sebanyak 177 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 265 Nm pada 1,500-4,500 rpm.

Kona juga didatangkan dengan enjin 2.0 liter MPI bagi pasaran global.

Tanpa wayar

Jika dilihat pada penampilannya di KLIMS 2018, berkemungkinan Hyundai Kona yang didatangkan dengan enjin 1.6 liter tersebut akan dipasarkan di negara ini.

Bagi model 2020 jentera tersebut, ia didatangkan dalam lima varian iaitu SE, SEL, SEL Plus, Limited dan Ultimate.

Berkenaan rupanya pula, rata-rata peminat SUV tersebut mengakui ia antara jentera paling sporty dalam kelasnya.

Tayar bersaiz 235/45 dengan rim 18 inci diguna pakai oleh SUV kompak tersebut. Selain itu, jentera itu dipadankan dengan topang MacPherson pada sistem suspensinya.

Bagaimanapun, sistem suspensi belakang SUV itu berbeza mengikut model kereta iaitu antara sistem pacuan dua roda (2WD) dan pacuan semua roda (AWD).

Model 2WD menggunakan torsion beam, manakala model AWD didatangkan dengan suspensi dual-arm multi-link.

Jika anda mahukan hiburan ketika berada di dalam SUV tersebut, tidak perlu bimbang kerana didatangkan dengan sistem infotainment premium dengan pelbagai ciri sambungan canggih.

Model terbaharu Kona juga hadir bersama teknologi Wireless Device Charging yang membolehkan pengguna mengecas telefon pintar mereka di bahagian konsol kereta tanpa wayar. Bagi pengguna masa kini, sudah tentu ciri ini antara yang disukai mereka.SUV ini juga membolehkan pemandu memilih mod pemanduan menerusi Drive Mode Select iaitu Normal dan Sport.

Sistem keselamatan model 2020 Hyundai Kona juga dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA) dan Amaran Tumpuan Pemandu (DAW).

Antara penambahbaikan lain yang didatangkan bersama jentera itu juga adalah teknologi Smart Cruise Control baharu bagi varian Ultimate.
Varian Limited dengan warna orange sunset (oren) pula didatangkan dengan kemasan berwarna oren di bahagian dalamnya.

SKRIN LCD dengan rekaan ringkas merupakan sebahagian daripada sistem infotainment Hyundai Kona.

Hyundai Kona ketika ini ditawarkan dalam pelbagai warna, antaranya kelabu, merah, hitam dan putih.

Namun, warna SUV tersebut yang hampir pasti dipasarkan di Malaysia ialah hijau dan kelabu jika dilihat pada gambar-gambar Kona yang tular di Facebook.

Kehadiran Hyundai Kona pastinya memeriahkan dunia automotif tempatan, dengan pengguna bakal mempunyai lebih pilihan.

Tindakan Hyundai menghasilkan jentera itu juga sudah tentu selaras perkembangan terkini, yang mana SUV semakin diminati oleh pengguna ekoran kepelbagaian fungsinya.

HSDM kini membuka tempahan bagi SUV kompak tersebut, dengan harga ditawarkan menurut laman web mereka ialah RM11X,XXX, bermakna harganya masih belum diputuskan lagi.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh membayar yuran tempahan sebanyak RM288.

POPULAR

BERITA BERKAITAN