fbpx

Casagrande perlu dirantai malam ini – Yusri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSRI mahu anak-anak buahnya merantai pergerakan Casagrande yang dilihat boleh membahayakan gawang skuad TRW malam ini. - SUHAIRIENOR PHOTOGRAPHY IS ART

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KELIBAT penggempur import sensasi Pulau Pinang, Anselmo Casagrande diramal menjadi ancaman utama buat The Red Warriors (TRW) pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Pengendali TRW, Yusri Che Lah bertekad dan berharap barisan pemainnya memberikan layanan istimewa kepada pemain berkenaan dalam pertemuan itu nanti.

“Sudah pasti pemain yang tinggi lampai itu menjadi rintangan utama kepada kami. Hal ini kerana dia mampu menjaringkan gol dalam apa jua keadaan.

“Selain itu, Casagrande turut mampu bertindak sebagai pengumpan kepada rakan-rakan sepasukan untuk meledakkan jaringan,” katanya.

Selepas mengharungi empat perlawanan dalam saingan Liga Premier, Casagrande kini meledak enam gol.

Ketajaman penyudah itu meletakkan penyerang kelahiran Brazil tersebut perlu diberikan perhatian oleh benteng pertahanan pasukan lawan dalam saingan liga musim ini.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Perlis itu memberitahu, dia menuntut barisan pemain TRW untuk memberikan aksi lebih bertenaga pada perlawanan itu nanti.

Katanya, berdepan Harimau Kumbang bukan tugas mudah kerana pasukan itu mempunyai pakej lengkap segenap posisi.

“Namun, kita akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan TRW menggapai kemenangan pada perlawanan itu nanti.

“Saya menaruh kepercayaan tinggi kepada pemain dan mereka mampu menggalas tugas itu dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Kelantan kini menghuni tangga ketujuh dalam carta Liga Premier dengan mengumpul empat mata selepas mengharungi empat perlawanan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI