SUSULAN kejayaan single terdahulu, Sampai Bila yang melakar pelbagai catatan manis dalam kerjaya nyanyian Misha Omar, penyanyi itu sering diasak persoalan daripada peminat yang bagaikan tidak sabar menanti kemunculan terbaharunya.
Bagi Misha, desakan peminat tidak sekali-kali memberinya tekanan, sebaliknya menyifatkan keterujaan peminat itu sebagai isyarat kehadirannya sentiasa dirindui.
Biarpun terpaksa menanti lama, Misha percaya, penantian peminat tidak sia-sia kerana sebagai penyanyi yang sudah 18 tahun mengatur langkah, dia begitu mementingkan ketelitian dalam pembikinan single terbaharu.
Hampir dua tahun membuai emosi peminat dengan Sampai Bila, anak kelahiran Kelantan itu berkongsi berita gembira apabila single terbarunya, Tanpa Rela bakal menemui umum pada pertengahan bulan depan.

Bercerita mengenai Tanpa Rela, Misha penuh teruja berkata, pembikinan single itu begitu memberinya kepuasan tersendiri, apatah lagi apabila berpeluang memberikan sentuhan untuk lagu berkenaan.
Bertitik tolak daripada sambutan luar biasa peminatnya ketika menjayakan konsert This Is Misha di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), setahun lalu, Misha berkata, konsert tersebut menjadi pemangkin yang memberinya inspirasi untuk menghasilkan melodi Tanpa Rela.
“Selepas 18 tahun dalam industri muzik, saya terfikir mengapa tidak saya memulakan satu langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi.
“Biarpun proses penghasilan Tanpa Rela menuntut perjalanan yang panjang, saya bertuah kerana niat itu dipermudahkan apabila dipertemukan dengan pengarah muzik, Lee Sze Wan ketika menjayakan Konsert Soul Sisters di Istana Budaya, April tahun lalu.
“Dari situ, kami mula rapat hingga tercetus idea untuk menjalin kerjasama dalam penghasilan single terbaharu ini. Saya bersyukur kerana Sze Wan banyak memberikan tunjuk ajar, malah sentiasa sabar melayani kerenah saya yang masih hijau dari segi komposisi lagu,” katanya.
Mengakui kejayaan Sampai Bila turut mendorongnya untuk meletakkan standard lebih tinggi dalam penghasilan single terbaru, Misha berkata, perkara sebegitu menjadikan dirinya seorang yang teliti sebelum melangkah ke studio rakaman pertengahan Julai lalu.
Tambahan pula, Tanpa Rela single pertama ciptaannya, Misha begitu berharap, lagu tersebut memenuhi kehendak peminat yang sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dalam penyampaiannya.

Untuk itu, Misha mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal secara lebih intensif bersama pensyarah vokal berkaliber, Datuk Syafinaz Selamat demi memastikan sebuah penghayatan dan penyampaian terbaik untuk Tanpa Rela.
“Tanpa Rela memberikan banyak pengalaman manis untuk saya kenang.
“Tidak hanya menjadi lagu pertama yang saya hasilkan, saya juga teruja kerana buat kali pertama dapat bekerjasama dengan Datuk Syafinaz di studio rakaman sebagai penasihat dan pengarah vokal.
“Semua itu memberikan suasana berbeza buat saya. Sebelum ini, saya hanya melangkah ke studio rakaman untuk memasukkan vokal apabila semua proses awal sudah selesai.
“Tetapi untuk Tanpa Rela, saya terbabit dari awal. Bermula dengan mencari idea menghasilkan melodi, seterusnya berbincang dengan Sze Wan dari segi susunan muzik, saya juga terbabit dalam penulisan lirik.
“Apabila semua proses awal selesai, saya mendapatkan khidmat Syafinaz untuk membantu dari sudut penghayatan dan penyampaian lagu,” kata Misha.
Sungguh, perjalanan emosi dan persiapan fizikal untuk Tanpa Rela bukan mudah. Setiap bait liriknya juga tertulis setelah menerusi perbincangan bersama.
“Untuk karya pertama ini, saya tidak mahu syok sendiri, sebaliknya saya turut membuka ruang untuk bekerjasama dengan banyak pihak kerana mahu memberikan yang terbaik kepada semua.
“Jujur saya akui, saya berasa selamat kerana di sisi saya ada banyak tangan, termasuk penulis lirik berpengalaman, Slen Fadzil yang sentiasa bersedia memberikan magis mereka untuk melihat Tanpa Rela mencatat kejayaan membanggakan,” katanya.

Legasi
Meskipun berdepan tekanan, malah adakalanya Misha sukar melelapkan mata, dia berdoa Misha segala usaha dan kerja kerasnya membuahkan hasil kelak.
“Selalunya apabila sudah membuat persediaan rapi akan memudahkan tugasan sebelum melangkah ke studio rakaman. Saya pula sebaliknya.
“Saya menjadi semakin takut dan tidak senang duduk, terutama apabila memikirkan harapan tinggi yang diletakkan peminat. Perkara ini meresahkan.
“Namun, saya percaya apabila sudah memberikan sepenuh hati, usaha itu harapnya dapat sampai dekat di hati peminat.
“Itu lebih penting kerana dokongan peminat menjadi kekuatan untuk saya berdiri selama ini,” katanya.
Tidak menafikan, semakin tidak sabar menantikan peluncuran Tanpa Rela Misha berharap, usaha itu memberikan anjakan supaya dia lebih bersemangat dan serius mengorak langkah menjadi insan seni disegani.
“Tanpa Rela memberikan makna yang begitu besar dalam kerjaya nyanyian saya. Prosesnya tidak mudah kerana semua pihak yang terbabit, terutama Sze Wan dan Syafinaz.
“Mereka mementingkan kesempurnaan dan sebagai penyanyi, kepercayaan besar mereka membuatkan saya rasa dihargai serta disayangi.
“Saya berharap Tanpa Rela akan menjadi penyambung legasi Misha Omar dalam perjalanan menuju dua dekad sebagai insan seni,” tutupnya.

















